Walscheid menang peringkat 3, Fedorov kekal jersi kuning

KUALA LUMPUR, 9 Feb 2020 - SELEPAS dua kali mencuba, pelumba NTT Pro Cycling Maximilian Richard akhirnya berdiri sebagai pemenang di podium apabila memenangi saingan pecutan terakhir ke garisan penamat pada Peringkat 3 PETRONAS – Le Tour de Langkawi 2020 (LTdL) dari Temerloh ke Kuala Lumpur, hari ini.


Dalam perlumbaan dianggap sukar kerana turut membabitkan zon pendakian berstatus KOM1 di Genting Sempah itu, Walscheid yang menjuarai perlumbaan memanas badan Kriterium Antarabangsa Malaysia di Kota Kinabalu, Khamis lalu, mengekang asakan sengit pelumba Nippo Delko Provence, Riccardo Minali dan pelumba Team Sapura Cycling dari Turki, Ahmet Orken.


Dia menamatkan kayuhan sejauh 162.5km itu dengan catatan masa 3 jam 51 minit 42 saat, tatkala penyarung jersi kuning dari pasukan Vino Astana-Motors, Yevgeniy Fedorov sekali lagi berkayuh secara selamat di dalam kelompok besar di depan untuk mengekalkan jersi kuningnya selaku pendahulu keseluruhan.


Fedorov, pelumba muda Kazakhstan yang tampil kali kedua di LTdL, turut mengekalkan jersi putih Pelumba Terbaik Asia tetapi kehilangan jersi hijau Raja Pecut yang disarung sejak dua hari lalu kepada Walscheid yang kini mengumpul 34 mata.


Peminat tempatan turut berbangga apabila pelumba muda negara yang menyarung jersi Team Sapura Cycling (TSC), Muhamad Nur Aiman Zariff dinobatkan selaku penyarung jersi merah Raja Bukit, apabila bijak menguasai dua zon pendakian mudah dan menduduki tempat kedua dalam pendakian di Genting Sempah untuk mengumpul 16 mata.


Dalam perlumbaan yang dilepaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Peladangan Pahang yang mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Mohd Sharkar Shamsudin di Temerloh itu, sekumpulan 7 pelumba membuat pemecahan sebaik melepasi Mentakab tetapi mengecil kepada 6 pelumba.


Pelumba ARA Pro Racing sunshine Coast, Alistair Donohoe; Georgios Bouglas (SSIOS-Miogee); Bernard Benyamin Van Aert (PGN); John Le Bon (B&B Hotels-Vital Concept); Rylee Field (Bridgelane) dan Nur Aiman (TSC) kemudian menjarakkan diri dan berada hampir 4 minit di depan.


Aiman memastikan pungutan mata di dua zon pendakian mudah di Bukit Damar dan Bentong tetapi kurang bernasib baik ketika pendakian ke Genting Sempah kerana mengalami tayar bocor yang membolehkan Field mengutip mata dan meloloskan diri secara solo ketika menuruni laluan berkenaan.


Peloton yang dapat menangkap kumpulan di depan itu menyaksikan dua pelumba lain, Quintin Pacher (B&B) dan Pierpaolo Ficara (TSC) dapat menangkap Field di depan tetapi ketiga-tiga pelumba berkenaan ditelan kumpulan besar pelumba pada baki 2km dari garisan penamat di depan Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC).


Ketika itulah, rakan sepasukan Walscheid menarik pelumba itu ke depan sebelum henjutan terakhir yang menyaksikan dia hanya setengah roda di depan Minali dan Orken.

“Segala-galanya kerana usaha menakjubkan rakan sepasukan yang bekerja keras untuk menangkap pelumba di depan. Kami mempunyai beberapa strategi hari ini. Rakan-rakan terutama Samuele Battistella memainkan peranan dengan berkesan untuk mengejar pelumba di depan.


“Mereka mempercayai kemampuan saya untuk melakukan pecutan terakhir dan saya gembira dengan kemenangan pertama di LTdL ini serta berharap akan menyusul satu lagi kemenangan selepas ini, terutama di laluan landai selepas peringkat ke Genting Highlands esok,” katanya sambil menambah dia turut terpukau dengan sambutan peminat berbasikal di Malaysia dan berbangga dapat berkayuh dalam edisi ke-25 LTdL ini.


Sementara itu, Fedorov berkata pasukan Vino sekali lagi berusaha mempertahankan jersi kuning yang disarungnya sejak kemenangan Peringkat 1 di Kuching, tempoh hari.


“Seperti juga semalam, perlumbaan hari ini lebih sukar kerana ada pendakian yang agak curam di Genting Sempah dan rakan sepasukan serta pasukan yang mengandungi pakar pecut turut membantu di kelompok depan peloton untuk mengejar kumpulan breakaway.


“Selepas itu, saya hanya berkayuh secara tenang. Saya gembira kerana menyarung jersi kuning buat kali pertama pada usia masih muda tetapi saya tidak dapat menjamin apa-apa kerana esok ada pendakian yang sukar di Genting.


“Usaha pasukan esok adalah untuk membantu pakar pendaki kami mencatat keputusan yang baik di Genting,” kata pelumba 19 tahun itu.


Bagi Nur Aiman pula, jersi merah yang disarungnya itu menguatkan semangatnya untuk cuba mempertahankan gelaran Raja Bukit, walaupun menyedari pendakian ke Genting Highlands cukup sukar buatnya.


“Strategi esok ialah cuba membuat pemecahan awal dan menambah mata KOM di beberapa zon pendakian mudah (di Tekali, Ampang Lookout Point, Selayang dan Rawang) sebelum membantu pakar pendaki pasukan TSC (Cristian Raileanu, Ficara dan Serghei Tvetcov).


“Namun sasaran pasukan esok lebih penting berbanding misi peribadi saya dan kami akan cuba yang terbaik,” katanya.


Peringkat 4 esok membabitkan kayuhan sejauh 156.1km yang bermula di depan Bangunan Perbadanan Putrajaya dan berakhir di puncak pusat peranginan tanah tinggi Genting Highlands yang menjadi peringkat penentu dalam sepanjang sejarah LTdL.


Sempena ulang tahun jubli perak ini juga, penganjur Human Voyage Sdn Bhd turut menganjurkan perlumbaan Kriterium Antarabangsa di Kota Kinabalu, pada 6 Februari lalu dan Perlumbaan Klasik Malaysia di Pulau Langkawi pada 15 Februari.


MEDIA

RACE EXPERIENCE

INFORMATION

SOCIAL

25TH ANNIVERSARY

ARCHIVE

Organiser of PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020. 165-5-12 Wisma Mutiara, Jalan Sungai Besi, 57100 Kuala Lumpur, Malaysia.

Copyright © 2020 Le Tour de Langkawi. All Rights Reserved. Managed by Human Voyage (M) Sdn. Bhd (733191-V).