LANGKAWI: Pasukan benua Malaysia, Team Sapura Cycling (TSC) mencipta sejarah tersendiri, selepas menjadi pasukan tempatan pertama muncul juara keseluruhan pada edisi ke-25 perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020, yang melabuhkan tirainya di sini, pada Jumaat.
Pelumba pasukan berkenaan, Danilo Celano dari Itali, memenangi jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan, yang dipertahankan sejak Peringkat Keempat di Genting Highlands, pada 10 Feb lepas dengan catatan masa keseluruhan lapan peringkat, iaitu 26 jam 39 minit 58 saat.
Pelumba negara, Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff turut mencipta sejarah, selepas menjadi pelumba pertama Malaysia memenangi Jersi Merah atau Raja Bukit, sejak edisi pertama LTdL pada 1996 selepas mengumpulkan 34 mata.
Lebih bermakna, pasukan berkenaan turut mengungguli kategori pasukan terbaik, selepas mengumpul masa keseluruhan lapan peringkat 80 jam 02 minit 45 saat.
Pada Peringkat Kelapan sejauh 108.5km mengelilingi Pulau Langkawi dari Dataran Lang ke pekan Kuah pada Jumaat, Celano dan Muhamad Nur Aiman, masing-masing menduduki tempat ke-43 dan ke-63 daripada 107 pelumba, setelah masing-masing melakar catatan masa 2 jam 29 minit 08 saat dan 2:29.20 saat.
Astro Awani, 15 Februari 2020