TSC lakar sejarah pasukan Malaysia pertama juarai LTdL

PASUKAN benua Malaysia, Team Sapura Cycling (TSC) mencipta sejarah tersendiri, selepas menjadi pasukan tempatan pertama muncul juara keseluruhan pada edisi ke-25 perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020, yang melabuhkan tirainya di sini hari ini.


Pelumba pasukan berkenaan, Danilo Celano dari Itali, memenangi jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan, yang dipertahankan sejak Peringkat Keempat di Genting Highlands, pada 10 Feb lepas dengan catatan masa keseluruhan lapan peringkat, iaitu 26 jam 39 minit 58 saat.


Pelumba negara, Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff turut mencipta sejarah, selepas menjadi pelumba pertama Malaysia memenangi Jersi Merah atau Raja Bukit, sejak edisi pertama LTdL pada 1996 selepas mengumpulkan 34 mata.


Lebih bermakna, pasukan berkenaan turut mengungguli kategori pasukan terbaik, selepas mengumpul masa keseluruhan lapan peringkat 80 jam 02 minit 45 saat.


Pada peringkat kelapan sejauh 108.5km mengelilingi Pulau Langkawi dari Dataran Lang ke pekan Kuah hari ini, Celano dan Muhamad Nur Aiman, masing-masing menduduki tempat ke-43 dan ke-63 daripada 107 pelumba, setelah masing-masing melakar catatan masa 2 jam 29 minit 08 saat dan 2:29.20 saat.


Perlumbaan peringkat akhir hari ini menyaksikan pelumba Jerman, Maximilian Richard Walscheid dari pasukan NTT Pro Cycling Team muncul juara, disusuli pelumba Itali, Luca Pacioni (Androni Giocattoli-Sidermec) dan pelumba pasukan Ara Pro Racing Sunshine Coast, Taj Jones dari Australia, menduduki tempat kedua dan ketiga.


Komisar perlumbaan memberikan masa yang sama iaitu, 2 jam 29 minit 08 saat kepada 10 pelumba teratas, setelah menamatkan perlumbaan secara berkelompok.


Pengurus TSC, Ahmad Sayuti Mohd Zahit yang ditemui pemberita selepas perlumbaan hari ini menyatakan perasaan gembiranya dengan kejayaan bermakna berkenaan, sambil berterima kasih kepada penaja utama, Sapura serta barisan kru yang bekerja keras, bagi memastikan pasukan berkenaan dapat mempertahankan jersi kuning yang dimenangi bekas pelumba mereka, Benjamin Dyball dari Australia pada musim lepas.


Ahmad Sayuti pada masa sama, turut mendedahkan prestasi cemerlang yang dipamerkan barisan pelumba Sapura adalah hasil latihan intensif, yang diadakan di luar negara sebelum bermulanya saingan LTdL pada 6 Februari lepas.


"Saya merasakan kejayaan kedua kali ini adalah luar biasa, kerana kita menang Jersi Merah dan Jersi Kuning, selain gelaran pasukan terbaik, dan saya cukup berpuas hati.


"Sasaran asal kita berjaya dicapai, iaitu mempertahankan Jersi Kuning, selain dua kemenangan podium tempat ketiga.


"Namun saya akui saingan tahun ini lebih mencabar kerana laluan perlumbaan agak sukar, terutamanya zon pendakian di Pulau Pinang pada Peringkat Keenam, dua hari lepas, selain kehadiran satu pasukan Jelajah Dunia (World Team) dan enam pasukan profesional benua (proteams)," jelas Ahmad Sayuti yang merupakan bekas pelumba kebangsaan.


Sementara itu, Celano gembira atas kejayaan memenangi Jersi Kuning atau Juara Keseluruhan, walaupun di demam, sejak dua hari lepas dan berterima kasih dengan rakan sepasukan atas kejayaan hebat dalam perlumbaan terulung di Asia.


“Saya gembira untuk mengekalkan Jersi Kuning dan memenanginya bukanlah sesuatu yang mudah kerana saingan hebat daripada pelumba lain.


"Pasukan kami telah lalui persediaan sebelum menyertai perlumbaan ini dan saya gembira dengan kemenangan ini,” kata pelumba berusia 30 tahun dari Itali itu. - Bernama



Sinar Harian, 14 Februari 2020

MEDIA

RACE EXPERIENCE

INFORMATION

SOCIAL

25TH ANNIVERSARY

ARCHIVE

Organiser of PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020. 165-5-12 Wisma Mutiara, Jalan Sungai Besi, 57100 Kuala Lumpur, Malaysia.

Copyright © 2020 Le Tour de Langkawi. All Rights Reserved. Managed by Human Voyage (M) Sdn. Bhd (733191-V).