'Saya laju tapi dia lagi laju'

PELUMBA pecut sekali lagi dijangka menguasai saingan Peringkat 6 Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 hari ini dari Taiping ke Pulau Pinang sejauh 150.9km membabitkan tiga zon pecutan dan dua zon pendakian.


Penamat di laluan landai di Padang Kota Lama itu mungkin akan berkesudahan dalam kelompok besar sekiranya tidak berlaku pemecahan di dua zon pendakian di Teluk Kumbar dan Teluk Bahang.


Bagi penyarung jersi hijau Petronas dari NTT Pro Cycling Team, Maximilian Walscheid yang menamatkan perlumbaan peringkat 5 di tempat kedua di belakang Mohd Harrif Saleh semalam berkata, dia akan cuba untuk terus memberi saingan di garisan penamat.


Sedar akan kepantasan Harrif, Walscheid berkata, kerjasama daripada rakan pasukan akan memberi kelebihan buatnya memburu kemenangan peringkat yang kedua selepas menang pada Peringkat 3 Temerloh-Kuala Lumpur.


“Daripada apa yang saya dengar laluan esok (hari ini) sedikit berbeza berbanding Peringkat 5, namun kami akan cuba untuk menjadikannya mudah.


“Kami akan berkayuh dalam satu pasukan untuk memastikan akan ada pelumba menguasai barisan hadapan seperti yang dilakukan hari ini (semalam),” katanya.


Tamatnya perlumbaan semalam tiada perubahan jersi berlaku yang mana Walscheid masih mengekalkan jersi hijau Petronas, Danilo Celano dari Sapura Cycling Team (jersi kuning Petronas), Yevgeniy Fedorov - Vino Astana Motors (jersi putih) dan Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff masih mengekalkan jersi merah selaku raja bukit.


Sementara Walscheid menyifatkan Harrif menunjukkan pecutan menarik pada penamat peringkat, semalam.


“Satu pecutan menarik, saya laju, tetapi dia lebih laju, dia seorang yang sangat bagus,” katanya.



Harian Metro, 12 Februari 2020


MEDIA

RACE EXPERIENCE

INFORMATION

SOCIAL

25TH ANNIVERSARY

ARCHIVE

Organiser of PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020. 165-5-12 Wisma Mutiara, Jalan Sungai Besi, 57100 Kuala Lumpur, Malaysia.

Copyright © 2020 Le Tour de Langkawi. All Rights Reserved. Managed by Human Voyage (M) Sdn. Bhd (733191-V).