top of page

Sarawak mengalu-alukan Le Tour de Langkawi 2020 di Kuching untuk tahun mendatang

KUCHING: Kerajaan Sarawak amat mengalu-alukan pengajuran tahunan Le Tour de Langkawi (LTDL) di negeri ini dan menerima apa jua cadangan atau penganjuran sukan peringkat antarabangsa kerana ia bergantung kepada pihak penganjur melaksanakannya dengan baik di negeri ini.


Itu jelas Menteri Belia Dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dalam satu sidang media Le Tour de Langkawi 2020 di Kuching di sini pagi tadi.


Untuk tahun ini, jelas beliau LTDL begitu bermakna buat rakyat di sini, kerana Sarawak dan Sabah telah dimasukkan semula dalam pentas saringan selepas 23 tahun menyepi.


“Mewakili kerajaan Sarawak dan Ketua Menteri saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia melalui Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana LTDL ialah ilham beliau dan untuk penganjuran di bumi Sarawak dan Sabah kali ini ialah arahan beliau.


“Dengan diadakan LTDL untuk seluruh Malaysia kali ini ia sedikit sebanyak merapatkan integrasi di antara Sabah dan Sarawak serta Semenanjung Malaysia,” katanya.


Tambahnya penganjuran sukan antarabangsa seperti mana LTDL dan sukan-sukan lain bersesuaian diadakan di bumi Kenyalang kerana kemudahan yang lengkap ada di negeri ini.


“Dari pihak penganjur mungkin cabaran untuk mereka apabila berada di sini iaitu dari segi logistik agar sukar kerana perlu menggunakan pesawat.


“Walaupun merumitkan dari segi logistik, saya ucapkan syabas kepada pihak penganjur kerana dapat mengatur perlumbaan dengan baik dalam masa singkat dalam masa 24 jam merupakan suatu yang boleh kita pelajari, selain dibantu oleh pelbagai agensi-agensi lain seperti polis,” ujarnya.


Sesungguhnya sukan berbasikal ini diminati oleh rakyat Sarawak bukan sahaja sebagai suatu pertandingan malah menjadi sukan riadah, dan minat, jadi rakyat kita hanya perlu mengasah minat mereka dapat pergi ke pertandingan yang lebih baik seperti LTDL ini, ujarnya.


Manakala menurut Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pihaknya telah mengadakan perbincangan mengenai penganjuran LTDL pada tahun hadapan bersama dengan pihak penganjur dan kementerian.


“Kita mahukan Sabah dan Sarawak dijadikan pentas utama mulai tahun ini, kerana Sabah dan Sarawak sentiasa istimewa kepada Malaysia kerana kita mahu pastikan LTDL dapat dirasai dan dinikmati oleh penonton di seluruh negeri,”ujarnya.


Untuk perlumbaan LTDL di Kuching seramai 123 pelumba telah berentap untuk tempoh dua jam dengan jarak lebih 98 kilometer berbasikal sekitar Kuching.



Suara Sarawak, 7 February 2020

bottom of page