top of page

Sapura mahu pertahan Jersi Kuning di LTdL 2020

KUALA LUMPUR: Biarpun kehilangan pemenang jersi kuning Le Tour de Langkawi 2019, Benjamin Dyball, pasukan Sapura Cycling Team (TSC) tetap fokus mahu mempertahankan jersi kuning yang dimenangi pelumba Australia itu apabila saingan edisi ke-25 LTdL 2020 membuka tirainya, 7 hingga 14 Februari depan.


Pengurus pasukan TSC, Sayuti Zahit berkata sekali pun sukar mencari pengganti buat mengisi kekosongan yang ditinggalkan Dyball, dia yakin barisan pelumba sedia ada mampu mengulangi pencapaian besar TSC pada LTdL lalu.


Menurutnya, TSC amat berbangga kerana menunjukkan peningkatan besar sejak ditubuhkan empat tahun lalu manakala Dyball menjadi pelumba pertama pasukan itu yang dilamar oleh sebuah pasukan berstatus World Tour, NTT Cycling Team (dulu Dimension Data) bagi musim 2020 ini.


Bermula dengan hanya enam kemenangan peringkat pada 2017, TSC menambah jumlah kemenangan kepada lapan pada 2018 sebelum menutup tirai 2019 dengan 26 kemenangan termasuk 4 jersi kuning, sekaligus membuktikan tahap kompetitifnya di pentas Asia.


“Sejak awal, objektif penubuhan pasukan ini ialah menyediakan platform kepada pelumba Malaysia dan luar untuk lebih berjaya di pentas antarabangsa dan kami berbangga Dyball membuktikan kehebatannya bersama Sapura sehingga dia dipancing sebuah pasukan bertaraf World Tour.


“Tahun 2020 ini akan menjadi tahun keempat buat TSC dalam saingan Benua Asia dan dengan sokongan berterusan penaja utama seperti Sapura dan penaja lain seperti Castelli, Rudy Project, Shimano dan Cervelo, tidak mustahil untuk kami mengorak langkah lebih jauh dan mencatat keputusan lebih besar,” kata Sayuti yang akur dengan kedudukan tangga kedua dalam senarai Jelajah Asia, di belakang Terengganu Inc Cycling Team.


Untuk menghadapi saingan LTdL 2020 yang dijangka lebih mencabar berikutan perubahan status kepada Pro Series oleh UCI, yang mensyaratkan kehadiran beberapa pasukan bertaraf World Tour dan sejumlah pasukan Pro Benua dalam edisi ke-25 pada 7-14 Februari nanti, Sapura membuat persiapan awal demi mencapai sasarannya.


“Untuk menang lebih mudah berbanding untuk mengekalkan jersi kuning, tapi TSC akan cuba mempertahankan jersi kuning itu menerusi tujuh pelumba yang akan disenaraikan nanti, lebih-lebih lagi kebanyakan laluan adalah landau, seperti yang dilakukan Marcus Culey pada peringkat pertama Kuala Lumpur-Tampin pada edisi lalu.


“Jadi senarai tujuh pelumba TSC kali ini berorientasikan ke arah pasukan berasaskan pakar pecut tetapi kami juga mampu mencabar di laluan pendakian,” kata Sayuti lagi sambil menambah pelumba TSC akan berkayuh di Cambodia Bay Cycling Tour pada 6 Januari ini, New Zealand Cycle Classic, Race Tourquay dan Jayco Herald Sun Tour di Australia sebagai persiapan memanas badan.


Selain Culey yang masih segar dengan kejayaan menyapu tiga jersi taruhan di Tour de Selangor pada pertengahan Disember lalu, TSC akan turut menyenaraikan dua pelumba tempatan yang semakin matang, Nur Aiman Zariff dan Muhamad Zawawi Azman.


Pelumba Belanda berusia 30 tahun, Roy Eefting; juara kebangsaan lebuhraya dan ujian masa Turki, Ahmet Orken; bekas pelumba pasukan Floyd’s dari Romania, Serghei Tvetcov yang dijangka menjadi pencabar dalam perebutan jersi kuning; dan bekas pelumba Amore & Vita-Prodir dari Itali, Pierpaolo Ficara.


Edisi ke-25 LTdL 2020 akan membabitkan kayuhan di lapan peringkat perlumbaan, bermula di Kuching, Sarawak pada 7 Februari dan berakhir di Pulau Langkawi, Kedah pada 14 Februari, meliputi jarak keseluruhan 1095.7 kilometer.


SAPURA CYCLING TEAM

Marcus Culey (AUS); Nur Aiman Zariff (MAS); Muhamad Zawawi Azman (MAS); Roy Eefting (NED); Ahmet Orken (TUR); Serghei Tvetcov (ROM); Pierpaolo Ficara (ITA)


MENGENAI LE TOUR de LANGKAWI

Le Tour de Langkawi (LTdL) merupakan pelumbaan jelajah yang dicetuskan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan objektif merancakkan sektor pelancongan sukan dan menonjolkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dunia. Berlangsung sejak 1996 dengan status UCI 2.6, LTdL berkembang pesat sehingga mencapai status tertinggi 2.0 Hors yang meletakkan sebagai perlumbaan berprestij dan terbesar di Asia. LTdL lazimnya bermula atau berakhir di Langkawi, membabitkan laluan di seluruh negara termasuk pendakian popular ke Genting Highlands berstatus Hors.


Tahun 2020 menyaksikan bermulanya era baru LTdL sebagai perlumbaan berstatus ProSeries selepas ketiadaan kategori Hors di bawah struktur 3 peringkat acara yang diperkenalkan badan dunia Union Cycliste Internationale (UCI) bagi 2020. LTdL kebiasaannya menarik penyertaan pelumba dan pasukan meliputi benua dari Eropah, Asia, Amerika, Afrika, Amerika Selatan dan Oceania. Edisi LTdL 2020, yang dianjurkan bersempena sambutan Jubli Perak 25 tahun perlumbaan itu, akan berlangsung dari 7 hingga 14 Februari.


MENGENAI HUMAN VOYAGE

Human Voyage (M) Sdn. Bhd merupakan syarikat pengurusan acara khusus dalam penganjuran acara berbasikal dan jelajah. Antara pembabitan dan kejayaan Human Voyage termasuk menganjurkan acara berbasikal berkelas dunia seperti perlumbaan Basikal Bukit MTB “Langkawi International Mountain Bike Challenge” selain menjadi penganjur edisi ke-20 LTdL pada 2015. Human Voyage kembali menjadi penganjur LTdL pada tahun 2019.


bottom of page