PM gesa syarikat korporat bantu jayakan kejohanan antarabangsa

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru agar lebih banyak syarikat korporat tampil memberi suntikan kewangan dalam menyokong penganjuran pelbagai kejohanan sukan antarabangsa yang diadakan di negara ini seperti perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL).


Mengambil contoh PETRONAS, Dr Mahathir berterima kasih kepada syarikat minyak dan gas nasional itu yang sudi menjadi penaja utama bersama beberapa syarikat korporat lain dengan tampil memberi sokongan kewangan bagi menjayakan edisi ke-25 perlumbaan berbasikal tahunan berkenaan yang diadakan sejak 1996.


Beliau yang mencadangkan idea penganjuran LTdL turut menegaskan, sokongan kewangan daripada syarikat-syarikat korporat amat penting dalam memastikan penganjuran sesebuah kejohanan sukan antarabangsa di negara ini berjalan lancar walaupun kerajaan mempunyai peruntukan khas untuk membantu penganjur.


"Biasanya perlumbaan macam ini (LTdL), sama juga dengan (perlumbaan) F1 (yang) memerlukan perbelanjaan yang besar," menurut Perdana Menteri ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang peringkat ketiga LTdL 2020 di hadapan Menara Berkembar PETRONAS di sini, hari ini.


Turut hadir pada majlis berkenaan adalah isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.


Beliau turut mendedahkan penganjuran LTdL sejak 25 tahun lepas telah berjaya menarik minat ramai rakyat di negara ini untuk menjadikan aktiviti berbasikal sebagai salah satu kaedah beriadah.


Dalam perkembangan sama, Dr Mahathir yakin pelumba Malaysia yang berbakat mempunyai peluang untuk menyertai beberapa kejohanan berbasikal terkemuka di luar negara pada masa akan datang.


"Daripada yang mengambil bahagian itu, kita akan jumpa mereka yang berbakat. Mereka perlu dilatih sehingga sampai tahap mereka boleh berlumba dalam perlumbaan berbasikal seperti ini," jelas Dr Mahathir.


Pelumba pasukan NTT Pro Cycling Team, Maximilian Richard Walscheid dari Jerman muncul juara peringkat ketiga LTdL 2020 dari Dataran Temerloh ke Menara Berkembar Petronas sejauh 162.5km.


Pelumba Itali, Riccardo Minali dari pasukan Nippo Delko Provence dan pelumba Team Sapura Cycling, Ahmet Orken dari Turki, masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.


Ketua juri memberikan catatan masa yang sama iaitu 3 jam 51 minit dan 42 saat kepada 10 pelumba terbaik yang melintasi garisan penamat dalam kelompok. - BERNAMA



BH Online, 9 Februari 2020

MEDIA

RACE EXPERIENCE

INFORMATION

SOCIAL

25TH ANNIVERSARY

ARCHIVE

Organiser of PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020. 165-5-12 Wisma Mutiara, Jalan Sungai Besi, 57100 Kuala Lumpur, Malaysia.

Copyright © 2020 Le Tour de Langkawi. All Rights Reserved. Managed by Human Voyage (M) Sdn. Bhd (733191-V).