LANGKAWI: Edisi ke-25 PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 mencipta sejarah tersendiri buat Malaysia sekali gus mencapai inspirasi yang diilhamkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perlumbaan berprestij itu yang berakhir hari ini menyaksikan pasukan tempatan, Team Sapura Cycling (TSC) melakar sejarah apabila mempertahankan jersi kuning PETRONAS (keseluruhan) yang menjadi rebutan setiap pelumba menerusi Danilo Celano.
Lebih membanggakan, satu-satunya pelumba Malaysia dalam pasukan berkenaan, Muhamad Nur Aiman Zariff menamatkan penantian gelaran Raja Bukit (jersi merah) yang diidamkan rakyat Malaysia sejak edisi pertama dianjurkan pada 1996.
Malah, TSC turut muncul selaku pasukan terbaik keseluruhan dengan catatan 80 jam 02 minit 45 saat manakala satu lagi pasukan tempatan, Terengganu Cycling Team (TSG) berada di tempat kedua dengan perbezaan 04:48s.
"Saya lihat buat kali pertama, seorang daripada pelumba dari Malaysia menyarung jersi merah (Aiman). Ini menunjukkan kita mempunyai kebolehan... apa yang penting kita latih diri di sepanjang masa tanpa henti, sepanjang tahun.
"Tahun depan ada lagi perlumbaan dan saya harap mereka dapat mencapai kejayaan yang lebih baik daripada hari ini (semalam). Lama kelamaan, mungkin mereka mampu berada dalam kelas dunia dan bertanding di perlumbaan seperti Tour de France ataupun yang lain.
"Saya berbangga kerana rakyat Malaysia sekarang ini berminat dengan lumba basikal dan mereka juga berkayuh di mana-mana saja. Saya harap minat ini berterusan dan ia satu sukan yang baik untuk keseluruhan anggota badan.
"Apabila berbasikal, bukan saja kaki yang digunakan tetapi juga badan, tangan bahkan daya pemikiran kita. Saya harap, LTdL ini dapat diteruskan dan kita meraih kejayaan yang lebih lagi," kata Dr Mahathir dalam sidang media selepas berakhirnya edisi ke-25 itu.
Berita Harian, 14 Februari 2020