LANGKAWI: Kejayaan penganjuran PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 membuka ‘pintu’ lebih banyak pasukan berstatus WorldTeam menyertai edisi ke-26, tahun depan.
Meskipun baharu berakhir secara rasmi dengan acara sampingan - Perlumbaan Klasik Malaysia - di sini hari ini, pihak penganjur Human Voyage Sdn Bhd menerima khabar gembira apabila dua pasukan berstatus WorldTeam sudah mengesahkan penyertaan bagi 2021.
Edisi ke-25 tahun ini menyaksikan hanya satu pasukan WorldTeam iaitu NTT Pro Cycling selain enam pasukan ProTeam sekali gus menambahkan lagi kehangatan perlumbaan yang menyambut edisi Jubli Perak itu.
"(Maklum balas) pasukan WorldTeam begitu baik kali ini. Kami sudah mempunyai dua pasukan WorldTeam tahun depan. Apapun, kami belum boleh dedahkan nama kedua-dua pasukan itu, tetapi ia dari Eropah.
"Kami juga akan jemput lebih ramai pasukan WorldTeam. Kami harap akan ada pasukan dan pelumba yang lebih bagus lagi untuk edisi akan datang," kata Ketua Pegawai Operasi (COO) Human Voyage, Shahaizereen A Hamid.
Apapun, perlumbaan tahun ini harus menjadi saingan yang diingati peminat sukan berbasikal negara kerana paling banyak mencipta sejarah tersendiri.
Pelumba pasukan Terengganu Cycling Team (TSG), Harrif Saleh melakar kejutan apabila memenangi dua perlumbaan peringkat iaitu di Alor Setar, Kedah (Peringkat 7) dan di Ipoh (Peringkat 5) - kemenangan yang belum diraih mana-mana pelumba tempatan dalam satu edisi, sebelum ini.
Malah, nama Harrif sendiri berada di kedudukan tersendiri, muncul pemegang rekod kemenangan pelumba tempatan terbanyak dalam sejarah LTdL selepas kali pertama dimenangi Anuar Manan di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 2010.
Kali pertama Harrif memenangi peringkat perlumbaan pada tahun lalu di Melaka.
Selain itu, edisi kali ini juga menyaksikan Team Sapura Cycling mempertahankan Jersi Kuning PETRONAS (pendahulu keseluruhan) menerusi Danilo Celano selepas tahun lalu dimenangi Benjamin Dyball.
Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff turut menceriakan lagi pasukan apabila dinobatkan gelaran 'Raja Bukit' yang sebelum ini belum pernah dimenangi pelumba tempatan.
Aiman meletakkan namanya sebaris pelumba handalan lain seperti Anuar Manan yang pernah menyarung jersi hijau (Raja Pecut) dan Adiq Hussaini Othman (pelumba terbaik Asia).
Selain itu, Human Voyage juga membawa kemeriahan perlumbaan ke Sabah dan Sarawak dan mereka menerima maklum balas positif sekali gus tidak menolak kemungkinan kembali ke sana pada edisi akan datang.
"Kami akan berbincang semula dengan kementerian dan kerajaan negeri. Mungkin kami akan bawa semula (ke Sabah dan Sarawak) tetapi itu masih dalam peringkat perbincangan.
"PETRONAS LTdL juga membuka jalan untuk perlumbaan basikal di Kuching sendiri. Saya difahamkan kerajaan negeri dengan beberapa pihak penganjur akan adakan beberapa siri perlumbaan di sana. Jadi bagi saya, PETRONAS LTdL ini membuka jalan acara berbasikal yang lain di sana," kata Shahaizereen.
Berita Harian, 15 Februari 2020