KUALA LUMPUR: Penganjur PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020, Human Voyage (M) Sdn Bhd sentiasa peka dalam memastikan langkah pencegahan terbaik dapat dilakukan susulan penyebaran coronavirus yang mencetus kebimbangan ketika ini.
Ketua Pegawai Operasi LTdL 2020, Shahaizereen A Hamid berkata, buat masa ini hanya satu pasukan dari China menarik diri daripada perlumbaan yang dijadual berlangsung dari 6 hingga 15 Febuari ini tatkala mereka bekerjasama erat dengan pihak Kementerian Kesihatan.
"Tahun ini memang ada pasukan dari China," kata Shahaizereen dalam satu sidang media hari ini. "Secara rasminya, satu pasukan dari China sudah menarik diri semalam disebabkan isu coronavirus. Apapun kami masih menunggu dua lagi pasukan dari China dan satu pasukan dari Hong Kong untuk pengesahan.
"Pasukan yang menarik diri itu membuat keputusan atas faktor kebimbangan penularan. Kami akan mengesahkan semula pasukan terutamanya dari China ini. Untuk pengetahuan, kebanyakan pasukan sedang menjalani latihan di luar China, kemungkinan di Thailand dan mereka tidak akan memasuki China dalam masa terdekat ini.
"Kami juga sedia maklum dan sentiasa mengambil langkah diperlukan. Setiap pelumba dari China, kami wajibkan untuk buat pemeriksaan kesihatan dan (laporan kesihatan) akan dihantar kepada penganjur. Pihak Kementerian Kesihatan sudah memaklumkan kepada penganjur yang setiap pelumba (terutama) dari China, akan dibuat penapisan dan kami akan ikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan pihak kementerian."
Tiga pasukan berpangkalan di China – Hengxiang Cycling, Giant Cycling dan Ssois Mioge Cycling Team – berada dalam senarai LTdL tahun ini dengan Hengxiang Cycling sudah menarik diri.
LTdL 2020 dijadual membuka tirainya dengan Majlis Pengenalan Pasukan di Kota Kinabalu, Sabah pada 5 Februari sebelum Peringkat 1 dimulakan di Kuching, Sarawak pada 7 Februari dan berakhir dengan Peringkat 8 di Pulau Langkawi, membabitkan jarak keseluruhan 1,114.9 kilometer (km) yang merentasi sembilan buah negeri.
Sempena sambutan ulang tahun ke-25, Human Voyage juga akan menganjurkan perlumbaan Kriterium Antarabangsa di Kota Kinabalu pada 6 Februari serta perlumbaan klasik Malaysia di Pulau Langkawi pada 15 Februari.
Berita Harian, Selasa, 28 Januari 2020 | 7:11pm
Oleh Sukhairi Thani