Penganjur Jamin Bebas Daripada 2019-nCoV

KUALA LUMPUR, 28 Jan 2020 - Penganjur PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020, Human Voyage akan memastikan langkah-langkah keselamatan paling ketat diambil dan dipantau rapi khususnya melibatkan ketibaan pasukan, pegawai dan petugas media khususnya dari negara China.


Ini susulan kes jangkitan coronavirus atau 2019-nCoV yang sedang melanda negara China khususnya Wuhan ketika ini.


Ketua Pegawai Operasi Human Voyage, Shahaizereen A Hamid berkata, usahasama di antara pihak penganjur dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan dilakukan secara terperinci untuk memastikan pelumba, pegawai mahupun petugas yang tiba dari negara China bebas daripada jangkitan itu.


“Pasukan dan petugas media yang tiba dari China akan menjalani pemeriksaan rapi dan dikuarantin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu terlebih dahulu sebelum dibenarkan keluar.


Selain wakil dari China, pihak penganjur juga akan memantau perkembangan semasa kesemua pegawai, pelumba dan para petugas dari dalam dan luar negara sebagai langkah keselamatan tambahan.


“Kami akan memastikan perlumbaan PETRONAS LTdL 2020 berlangsung tanpa sebarang kebimbangan khususnya melibatkan isu kesihatan dan keselamatan,”kata Shahaizereen.


Persiapan awal termasuk penggunaan topeng muka dan suntikan vaksin yang akan disediakan bergantung kepada perbincangan bersama dengan KKM.


Dalam pada itu, Shahaizereen turut menambah, persiapan sebelum saingan jelajah berbasikal berstatus ProSeries berjalan lancar dan berada di landasan tepat.


Segalanya persiapan kini di fasa akhir untuk dimuktamadkan dan pihaknya juga akan memastikan perlumbaan PETRONAS LTDL 2020 bersempena Jubli Perak pada tahun ini berlangsung dengan jayanya.


“Segala persiapan berjalan lancar dan kami berharap orang ramai, peminat dan mereka yang berada di venue mula, penamat dan di sepanjang laluan dapat memberi sokongan padu untuk sama menjayakan edisi ke-25 ini,”katanya.


Dalam pada itu, penganjur juga mengesahkan pasukan yang berpengkalan di China, Hengxiang Cycling sah menarik diri daripada menyertai Petronas Le Tour de Langkawi 2020 berhubung jangkitan coronavirus.


Kekosongan yang ditinggalkan oleh pasukan Hengxiang Cycling tidak menjejaskan perlumbaan dan pengganti akan diumumkan kelak.


PETRONAS LTdL 2020 akan membuka tirainya dengan Majlis Pengenalan Rasmi Pasukan di Kota Kinabalu, Sabah pada 5 Februari sebelum bermula Peringkat 1 dimulakan di Padang Merdeka di Kuching, Sarawak pada 7 Februari. Perlumbaan dijangka berakhir dengan Peringkat 8 di Pulau Langkawi, membabitkan jarak keseluruhan 1,114.9km yang merentasi sembilan buah negeri.


Sempena sambutan ulang tahun ke-25, Human Voyage akan turut menganjurkan perlumbaan Kriterium Antarabangsa di Kota Kinabalu pada 6 Februari serta perlumbaan Klasik Malaysia di Pulau Langkawi pada 15 Februari.


MEDIA

RACE EXPERIENCE

INFORMATION

SOCIAL

25TH ANNIVERSARY

ARCHIVE

Organiser of PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020. 165-5-12 Wisma Mutiara, Jalan Sungai Besi, 57100 Kuala Lumpur, Malaysia.

Copyright © 2020 Le Tour de Langkawi. All Rights Reserved. Managed by Human Voyage (M) Sdn. Bhd (733191-V).