Pengalaman Anuar ditagih

KEMATANGAN dan pengalaman pelumba pecut negara Anuar Manan dituntut untuk membantu skuad kebangsaan menghadapi saingan Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 kali ini.


Malah dia yang kali terakhir berkayuh bersama skuad kebangsaan 11 tahun lalu teruja untuk bergandingan bersama pelumba muda seperti Nik Mohd Azwan Zulkiflie dan Sofian Nabil dalam saingan berprestij itu.


Tidak menganggap diri sebagai pelumba paling berusia, Anuar tetap yakin dia mampu untuk menyumbangkan sesuatu buat pasukan dan akan berusaha mengulangi kegemilangan 2010 apabila muncul pelumba negara pertama meraih kemenangan peringkat dalam saingan LTdL ketika bersama pasukan Korea, Geumsan Ginseng Asia.


Malah atlet kelahiran Terengganu itu tetap menaruh harapan untuk cuba meraih kemenangan peringkat pada edisi ke-25 ini dengan melihat saingan peringkat kedua di Terengganu mungkin memberi kelebihan buat dirinya bergelar juara berdasarkan penamat di laluan lurus.


“Saya gembira dapat kembali menyarung jersi kebangsaan. Sebelum ini tak ada kesempatan kerana banyak bersama pasukan luar tapi kali ini semangat itu lain sedikit sebab dapat bersama pelumba muda negara.


“Saya mungkin boleh gunakan kelebihan dari segi pengalaman dalam perlumbaan besar selain pernah meraih kemenangan peringkat untuk membantu membuka laluan buat rakan pasukan mendapatkan keputusan yang baik kali ini.


“Tapi saya tahu persaingan kali ini sengit dan laluan kali ini banyak memberi kelebihan kepada pelumba pecut,” katanya.


Dilatih di bawah bimbingan Mohd Yusof Nasir, skuad kebangsaan menyandarkan harapan kepada Azwan selaku kapten pasukan yang akan dibantu oleh Anuar, Sofian, Ameer Ahmad Kamal, Mohamad Izzat Hilmi Abd Halil dan Muhammad Danieal Haikkal Edy Suhaidee yang baru pertama kali berkayuh di LTdL.


Pencapaian terbaik skuad kebangsaan adalah pada penyertaan tahun lalu yang mana mereka berjaya meraih tempat kedua bagi kategori Asia.



Harian Metro, 4 Februari 2020 @ 9:06 PM

MEDIA

RACE EXPERIENCE

INFORMATION

SOCIAL

25TH ANNIVERSARY

ARCHIVE

Organiser of PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020. 165-5-12 Wisma Mutiara, Jalan Sungai Besi, 57100 Kuala Lumpur, Malaysia.

Copyright © 2020 Le Tour de Langkawi. All Rights Reserved. Managed by Human Voyage (M) Sdn. Bhd (733191-V).