Pakar pecut muda masih sandaran St George

KUALA LUMPUR: St George Continental Team sekali lagi mempertaruhkan pakar pecut muda untuk menggapai kemenangan peringkat elusif yang ditunggu-tunggu pasukan benua dari Australia itu dalam penyertaannya di PETRONAS-Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020.


Pada edisi lalu, pakar pecutnya, Blake Quick, 19 tahun, menduduki tempat kedua pada Peringkat 5 di Taiping dan sekali lagi pada Peringkat 8 di Pekan Kuah, masing-masing dipintas pada saat-saat akhir pakar pecut handalan pasukan Androni Giocattoli-Sidermec, Matteo Pelucchi dan Marco Benfatto.


Keputusan paling membanggakan St George setakat ini hanyalah ketika tampil kali pertama pada 2018 di mana Benjamin Dyball menduduki tempat ketiga keseluruhan, sebelum pelumba Australia itu berhijrah dan memenangi jersi kuning LTdL 2019 seterusnya disambar pasukan World Team, NTT Pro Cycling Team musim ini.


Pasukan yang ditubuhkan pada 2015 dan dibimbing Brett Dutton ini menyenaraikan empat pelumba yang beraksi tahun lalu, dalam usahanya mengejar kemenangan peringkat dan memperbaiki kedudukan individu keseluruhan berbanding edisi 2019.


Selain Quick, St George turut membariskan Michael Vink, Connor Reardon dan Matthew Zenovich yang tampil bersama skuad itu tahun lalu, selain menghantar dua lagi pakar pecut muda untuk membantu Quick ke garisan penamat iaitu James Harvey dan Jay Dutton.


Kelibat Quick yang semakin meniti kematangan pasti semakin jelas dapat dilihat di kelompok depan dalam henjutan beramai-ramai ke garisan penamat pada setiap tujuh peringkat landai yang disajikan dalam laluan LTdL 2020, seterusnya berada dalam perebutan jersi hijau Raja Pecut.


Quick dilihat berada pada prestasi yang semakin baik dan penyertaan memanas badannya di New Zealand Classics baru-baru ini, menghasilkan podium tempat kedua pada Peringkat 3. Harvey dan Dutton dijangka membantu membawa Quick ke barisan depan menjelang pecutan ke garisan penamat.


Mengetuai cabaran individu keseluruhan pula adalah dua pendaki yang turut beraksi pada LTdL 2019 lalu iaitu pelumba berpengalaman berusia 28 tahun dari Australia, Vink yang sudah tiga tahun bersama St George dan Zenovich, bagi mengambil alih tempat rakan sepasukan Timothy Cameron yang tidak disenaraikan kali ini.


Cameron menduduki tangga ke-21 keseluruhan dan ke-19 di Genting pada tahun lalu dan kali ini Zenovich yang menamatkan kayuhan di tempat ke-37 di Genting, menggalas tugas besar bersama-sama Vink pada pendakian setinggi 1,400 meter dari aras laut ke puncak pusat peranginan tanah tinggi terkenal itu.


PETRONAS LTdL 2020 akan membuka tirainya dengan Majlis Pengenalan Rasmi Pasukan di Kota Kinabalu, Sabah pada 5 Februari sebelum bermulanya Peringkat 1 di Padang Merdeka di Kuching, Sarawak dua hari kemudian.


Perlumbaan dijangka berakhir dengan Peringkat 8 di Pulau Langkawi, membabitkan jarak keseluruhan 1,114.9km yang merentasi sembilan negeri. Sempena sambutan ulang tahun ke-25, Human Voyage akan turut menganjurkan perlumbaan Kriterium Antarabangsa di Kota Kinabalu pada 6 Februari serta perlumbaan Klasik Malaysia di Pulau Langkawi pada 15 Februari.


Berita Harian, Rabu, 29 Januari 2020 | 2:43pm

MEDIA

RACE EXPERIENCE

INFORMATION

SOCIAL

25TH ANNIVERSARY

ARCHIVE

Organiser of PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020. 165-5-12 Wisma Mutiara, Jalan Sungai Besi, 57100 Kuala Lumpur, Malaysia.

Copyright © 2020 Le Tour de Langkawi. All Rights Reserved. Managed by Human Voyage (M) Sdn. Bhd (733191-V).