top of page

MEINTJES PIMPIN BARISAN PELUMBA MUDA NTT PRO CYCLING

KUALA LUMPUR, 25 Jan 2020 - Pasukan yang berpengkalan di Afrika Selatan, NTT Pro Cycling merupakan pasukan pertama berstatus Jelajah Dunia (World Tour) yang mengesahkan bakal beraksi di jelajah berbasikal PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020 yang dijadual bermula dari 6-15 Februari.


Walau bagaimanapun, NTT Pro Cycling tidak akan membariskan juara bertahan dari Australia, Benjamin Dyball yang berhijrah daripada pasukan Sapura Cycling (TSC) dan akan menurunkan Louis Meintjes untuk memimpin barisan enam pelumba pasukan itu.


Meintjes mempunyai rekod cemerlang dalam kategori kedudukan keseluruhan dalam saingan Jelajah Perancis (Tour de France) dan Vuelta a Espana menjadikannya sebagai pelumba pilihan bagi PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020 kali ini.


Pelumba berusia 27 tahun ini menduduki tangga ke lapan dalam senarai kedudukan pelumba keseluruhan dua kali di Jelajah Perancis (Tour de France) pada 2016 dan 2017 dan ke-10 di Vuelta a Espana pada 2015 selain tempat ketujuh di Sukan Olimpik acara lebuh raya pada 2016 dan boleh diibarat sebagai pencapaian terbaiknya.


Namun, edisi 2019, pencapaiannya tampak suram apabila menamatkan ujian masa di Kejuaraan Kebangsaan di kedudukan ketiga dan menamatkan perlumbaan berstatus Grand Tour, Vuelta a Espana di kedudukan ke-51 dalam kategori kedudukan keseluruhan.


Justeru, kehadirannya di PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020 yang bermula dari Kuching pada 6 Februari tahun ini dilihat sebagai platform terbaik untuk Louis Meintjes mencari momentum dan memburu keputusan yang positif.


NTT Pro Cycling juga akan membariskan pelumba berusia 30 tahun dari Jepun yang juga juara kebangsaan, Shotaro Iribe yang akan membuat penampilan sulung dalam perlumbaan UCI Jelajah Dunia musim ini selepas beraksi di Jelajah Asia bersama pasukan Shimano Racing.


Pelumba berusia 23 tahun, Dylan Sunderland, nama yang cukup sinonim di negara kelahirannya, Australia dan juga merupakan anak buah kepada bekas pelumba professional yang banyak beraksi di perlumbaan di sekitar Eropah, Scott Sunderland ketika era 90-an dijangka mahu memberikan persembahan terbaiknya selepas dua tahun bersama pasukan ini.


Michael Carbel dari Denmark juga akan membuat penampilan bersama pasukan NTT Pro Cycling dimana pelumba berusia 24 tahun itu dibawa masuk daripada pasukan berstatus Benua, Waoo.


Bagi saingan raja pecut, Max Walscheid dari Jerman menjadi taruhan pasukan dimana pelumba berusia 26 tahun ini menamatkan musim 2019 dengan cemerlang termasuk 11 podium ketika beraksi bersama pasukan Sunweb di Omloop van het Houtland Lichtervelde di Belgium.


Samuele Battistella, 21 tahun dari Itali melengkapkan senarai enam pelumba yang dijangka memainkan peranan untuk penamat dalam kelompok besar.


Berdasarkan sejarah, pasukan ini mempunyai sejarah yang istimewa sepanjang penglibatan dalam LTdL sejak 2011 dimana mereka dikenali dengan MTN-Qhubeka sebelum bertukar kepada Dimension Data.


Mereka turut berjaya melakar nama selaku juara keseluruhan menerusi pelumba Algeria, Youcef Reguigui (2015), Reinhardt Janse van Rensburg (2016) dan Ryan Gibbons pada 2017, justeru kehadiran mereka ke Malaysia pastinya dengan hasrat yang tinggi.


PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020 akan membuka tirainya dengan Majlis Pengenalan Pasukan di Kota Kinabalu, Sabah pada 5 Februari, sebelum Peringkat 1 dimulakan di Kuching, Sarawak pada 7 Februari dan berakhir dengan Peringkat 8 di Pulau Langkawi, membabitkan jarak keseluruhan 1,114.9km yang merentasi sembilan buah negeri.


Sempena sambutan ulang tahun ke-25, Human Voyage akan turut menganjurkan perlumbaan Kriterium Antarabangsa di Kota Kinabalu pada 6 Februari serta perlumbaan Klasik Malaysia di Pulau Langkawi pada 15 Februari.

bottom of page