top of page

LTdL 2020 tampil kelainan

KURANG daripada tiga bulan, peminat lumba basikal dunia akan disajikan dengan perlumbaan amat dinantikan setiap tahun, apatah lagi PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020 akan menyambut ulangtahun ke-25 penganjurannya tahun depan.


Sudah tentu harapan peminat sukan amat tinggi untuk menyaksikan acara lebih hebat dan menarik, lebih-lebih lagi apabila sukan ini dinaik taraf Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) kepada status siri profesional (ProSeries).


Ikuti temubual Harian Metro (HM) bersama Geoff Kronenberg (GK), Pengarah Teknikal PETRONAS LTdL 2020 untuk mengintai lebih dekat persiapan yang sedang dilakukan menjelang acara jelajah berbasikal terulung negara ini.


HM: Sejauh mana persiapan penganjur bagi PETRONAS LTdL 2020?


GK: Boleh dikatakan sejurus tamat acara PETRONAS LTdL 2019 pada April lalu, kami seperti tiada istilah berehat daripada membuat persiapan untuk acara tahun depan. Tambahan pula, 2020 adalah sambutan ke-25 untuk LTdL. Sudah tentunya kami mahu memberikan kelainan kepada peminat sukan berbasikal tempatan dan juga dari luar negara. Tahun depan juga Tahun Melawat Malaysia, jadi sebagai satu acara sukan mempunyai matlamat asal untuk memperkenalkan Malaysia ke arena pelancongan antarabangsa, sudah tentu kami juga perlu membuat persiapan ke arah itu.


Secara keseluruhannya, persediaan sudah hampir siap dan kami amat teruja untuk berkongsi dengan orang ramai mengenai apa sudah kami rancangkan. Dari aspek teknikal, kami membuat penelitian terperinci dari pelbagai segi seperti mematuhi kriteria UCI, keselamatan dan pemilihan pasukan.


Begitu juga dengan elemen lain yang kami titik beratkan seperti aktiviti sampingan untuk menarik perhatian rakyat tidak kira latar belakang, bangsa, usia mahupun di bandar atau desa supaya mereka menjadi sebahagian daripada PETRONAS LTdL 2020 ini.


Dalam erti kata lain, kami mahukan satu siri jelajah bukan saja berkualiti malahan setiap aktiviti dianjurkan betul-betul melambangkan tema LTdL iaitu “Sports Unite, Cycling Contributes.”


HM: Sempena ulangtahun ke-25 LTdL, ada dua acara baru akan diadakan iaitu Malaysian International Criterium Race dan Malaysian International Classic Race. Boleh kongsikan maklumat lanjut mengenai dua acara ini?


GK: Ya. Itu antara keistimewaan LTdL edisi ke-25 yang juga akan menjanjikan 10 hari acara lumba basikal yang hebat dan penuh debaran. Acara kriterium akan diadakan di Kota Kinabalu, sehari sebelum perlumbaan peringkat pertama LTdL 2020 bermula, bagi memberi pendedahan kepada pelumba bawah 23 tahun.


Perlumbaan ini menyasarkan pelumba elit profesional bawah 23 tahun (U23) dari Asia Tenggara, Asia dan juga pelumba dunia dengan lesen lumba elit UCI. Perlumbaan ini program pembangunan yang direka khas untuk meningkatkan lagi reputasi Malaysia sebagai tempat lahirnya juara berbasikal dunia.


Ini juga platform yang akan mempamerkan golongan muda Malaysia berbakat dan memberi peluang pelumba basikal Asean untuk bersaing dengan pelumba elit UCI dari seluruh dunia.


Sementara itu perlumbaan klasik pula membabitkan penyertaan juara kebangsaan negara anggota UCI termasuk bekas juara kebangsaan hingga dua tahun lalu dan sebab itulah ia digelar sebagai “Race of Champions.”


Ia dijadualkan berlangsung sehari selepas perlumbaan PETRONAS LTdL tamat di Langkawi. Kami berhasrat menjadikan pertandingan sejauh 160km ini sebagai landasan menarik pelumba basikal terbaik di dunia ke Malaysia sambil mempamerkan keindahan negara kepada penonton global.


HM: Bagaimana pula dari segi logistik? Apakah langkah yang diambil oleh penganjur untuk memastikan tiada sebarang masalah terutamanya di Sabah dan Sarawak?


GK: Kami amat bertuah kerana selama ini kami mendapat kerjasama amat baik sekali daripada pihak berkaitan seperti kerajaan negeri dan pejabat daerah, pihak berkuasa tempatan, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kastam dan Eksais, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Imigresen, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pertahanan Awam dan Malaysia Airports Holdings Berhad.


Ini sudah tentu memudahkan kerja kami sebagai penganjur. Secara amnya, saya yakin, cabaran logistik dalam membawa PETRONAS LTdL 2020 ke Sabah dan Sarawak ini minimum mengambil kira kemajuan dalan sistem penerbangan, pilihan pengangkutan, perkhidmatan kargo dan jalinan jalan raya.


Kami juga mempunyai ramai kakitangan berpengalaman luas dalam urusan logistik yang mana ada di antara mereka yang sudah memberikan khidmat sejak edisi LTdL pertama lagi. Bagi Sabah dan Sarawak, kami membuat beberapa persiapan khusus untuk memastikan kelancaran di sana.


Contohnya, kami sudah memulakan persiapan dengan mesyuarat bersama jawatankuasa berkenaan untuk memenuhi sebarang keperluan dan juga menghadapi sebarang kemungkinan. Sesetengah perkara mendapat pertimbangan yang lebih, contohnya jumlah petugas untuk mengendalikan kargo. Satu dry run juga akan diadakan. Kami juga menyesuaikan jadual pertandingan supaya ada masa yang cukup diberikan untuk pemindahan pelumba dan barangan mereka. Bagi memudahkan lagi urusan, kami juga menggunakan banyak vendor dari Sabah dan Sarawak sendiri.


HM: Bagaimana pula dengan tenaga dan kepakaran anak tempatan dalam penganjuran perlumbaan ini?


GK: Kami amat berbangga kerana selepas 24 tahun menganjurkan acara antarabangsa ini, banyak pengalaman dikutip dan dipelajari hinggakan hari ini kami sudah mampu menggunakan 100 peratus tenaga dan kepakaran tempatan dalam penganjuran LTdL.


Kalau dahulu motosikal marsyal pun dibawa dari luar negara, kini peralatan tempatan digunakan sepenuhnya. LTdL sudah pastinya berjaya menjadi medan anak tempatan memupuk kecemerlangan dalam bidang penganjuran sukan antarabangsa.


HM: LTdL sudah masuk ke tahun 25 penganjurannya. Apakah harapan penganjur untuk LTdL seterusnya?


GK: Mengambil inspirasi Giro d’Italia, iaitu satu perlumbaan basikal kategori tertinggi di bawah UCI yang dianjurkan di Itali, kami mahu menjadi “Giro of the East.” Untuk ini, kami mesti menyajikan satu perlumbaan yang lebih unik dan penuh dengan aksi hebat pelumba. Kami mahu menarik lebih ramai peminat sukan antarabangsa untuk bukan sahaja menonton di kaca televisyen, tetapi hadir sendiri ke Malaysia untuk menyaksikan LTdL.


Jika anda lihat kepada Giro d’Italia juga, perlumbaan ini sememangnya mendapat sokongan jitu penduduk tempatan Itali. Kami mahukan semangat sebegini ditiupkan kepada penduduk Malaysia supaya mereka lebih mengenali LTdL itu sendiri dan pelumba basikal yang mengambil bahagian.


Kami mahukan rakyat Malaysia khasnya penduduk tempatan di sepanjang laluan perlumbaan menyedari sokongan mereka melangkaui sorakan kepada pelumba tetapi juga bersama memainkan peranan dalam mempromosikan keindahan dan hospitaliti Malaysia ke mata dunia. Secara ringkasnya, kami berharap LTdL ini akan kekal sebagai perlumbaan yang mempunyai ‘jiwa’ tersendiri dan bukan dianjurkan semata-mata untuk tujuan komersial.


Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Disember 2019 @ 9:15 PM

Sumber: Harian Metro

bottom of page