Sumber: Harian Metro
PEMILIHAN tarikh yang tepat bakal membuatkan pelumba sensasi dunia terutama dari pasukan WorldTeams memilih untuk menyertai perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020.
Perkara itu diakui Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Human Voyage, Datuk Ahmad Mustafa yang tidak mahu episod 2019 berulang.
"Pada LTdL 2019 kita bertembung dengan pelbagai perlumbaan besar seperti Paris-Roubaix dan Tour des Flandres kerana terlambat namun tahun depan kita sudah mengubah pada Februari serta disahkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI)," katanya selepas Majlis Pelancaran Rasmi LTdL 2020 semalam.
Ujar beliau, mengapa tarikh 7 hingga 14 Februari menjadi pilihan ini kerana pelumba handalan dunia baru saja menyertai dua perlumbaan besar di Australia ketika itu iaitu di Tour Down Under dan Cadel Evans Great Ocean.
"Selepas perlumbaan di Australia, LTdL akan bermula dan kita bakal mendapat peluang terbaik untuk menyenaraikan pelumba dari pasukan WorldTeams. Jika ada perlumbaan diadakan pada tarikh sama hanyalah di Arab Saudi (Tour Saudi). Bagaimanapun, kita yakin akan berhubung dengan beberapa pasukan besar," katanya.
Antara pasukan bertaraf WorldTeams yang sudah melakukan perbincangan awal dengan Human Voyage ialah Bahrain-Merida, UAE Team Ineos dan Astana Pro Team.
"Selepas kami mengesahkan perlumbaan pada 7 hingga 14 Februari, sekarang mereka (pasukan WorldTeams) sudah mula menghubungi kami dan kami berharap akan dapat membuat keputusan di hujung Disember," katanya.
Dalam pada itu beliau juga mengesahkan kos pengajuran paling minimum untuk LTdL 2020 ialah RM20 juta dan cara untuk mengurangkan perbelanjaan dengan menggunakan alatan sedia ada di Sabah, Sarawak.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 November 2019 @ 9:35 PM