Pelumba Vino Astana Motors, Yevgeniy Fedorov meraih kemenangan bermakna apabila mengungguli Peringkat 1 Petronas Le Tour de Langkawi 2020 (LTdL) sekali gus menguasai tiga jersi taruhan pada akhir perlumbaan di Kuching hari ini
Selain memenangi jersi kuning selaku pendahulu jelajah ini, Fedorov turut dinobatkan sebagai penyarung jersi hijau Raja Pecut dengan mengumpul 21 mata, termasuk masing-masing 3 mata di zon pecutan berhampiran Kuching Isthmus dan pada pusingan ketiga loop mula/ tamat di hadapan Padang Merdeka.
Pelumba Kazakhstan berusia 19 tahun itu turut memenangi jersi putih Pelumba Terbaik Asia dan membantu pasukan Vino-Astana Motors menduduki tempat teratas senarai berpasukan dengan catatan keseluruhan 5 jam 35 minit 40 saat, 6 saat di depan Thailand Continental Cycling Team dan Bardiani CSF Faizane.
Pelumba Thailand Continental Team, Thurakit Boonratanathanakorn, memenangi tempat kedua dengan catatan masa 1 jam 51 minit 4 saat.
Tempat ketiga pula menjadi milik pelumba dari pasukan Team Sapura Cycling dari Malaysia, Ahmet Orken yang tiba 1 minit 17 saat selepas Thurakit.
LTdL 2020 di Kuching Sarawak ini melibatkan 96.2 km (loop) dan telah disertai oleh 123 orang pelumba menerusi 21 buah pasukan dari 31 buah negara termasuk Malaysia. Pelepasan perlumbaan telah disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mewakili Ketua Menteri Sarawak.
Ketika sidang media selepas acara pelepasan, Saddiq memaklumkan bahawa pihak kementerian akan berbincang lebih lanjut bersama penganjur untuk menjadikan Sarawak sebagai lokasi tetap penganjuran acara LTdL pada tahun seterusnya memandangkan Sarawak memiliki keistimewaan sebagai lokasi perlumbaan.
Peringkat 2 LTdL 2020 akan diteruskan di Terengganu pada keesokan hari dengan melibatkan jarak kayuhan sejauh 175.5km dari Kuala Terengganu ke Kerteh.
Edisi ke-25 tahun PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020 membabitkan jarak keseluruhan 1,114.9km yang merentasi sembilan buah negeri dan akan berakhir dengan Peringkat 8 di Pulau Langkawi, 14 Februari depan.
Sempena ulang tahun jubli perak ini juga, penganjur Human Voyage Sdn Bhd telah menganjurkan perlumbaan Kriterium Antarabangsa di Kota Kinabalu semalam dan Perlumbaan Klasik Malaysia di Pulau Langkawi pada 15 Februari.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Ramona Mohd Razali, Pengurus Besar Petronas Sarawak, Zulaihi Mohd Mantali dan Ketua Pengurus Operasi, Shahaizereen Abdul Hamid.
Malaysiadateline.com, 7 Februari 2020