Sumber: Berita Harian
KUALA LUMPUR: Pelancaran penuh gemilang Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 di Menara Berkembar Petronas, malam ini sempena sambutan Jubli Perak 25 tahun menandakan fasa baharu bagi perlumbaan terulung negara itu yang pernah mengalami tempoh turun naiknya.
Bermula daripada sebuah perlumbaan jelajah sederhana mengelilingi Pulau Langkawi pada 1996 bagi menggerakkan ekonomi dan sektor pelancongan di situ, LTdL juga tidak dapat lari daripada masalah termasuk pernah kehilangan status Hors.
Namun, bagi edisi 2020 apabila penganjurnya Human Voyage menjanjikan keunikan dengan kemasukan semula peringkat di negeri Sabah dan Sarawak.
Malah, kesudian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merasmikan majlis pelancaran LTdL 2020 membuktikan betapa ia kembali menjadi acara utama dalam kalendar sukan negara.
Dr Mahathir yang juga pencetus acara itu, berkata beliau gembira kerana LTdL berjaya meniti peringkat tertinggi sehingga menjadi perlumbaan berprestij yang mendapat perhatian pelbagai pasukan serta pelumba profesional ternama dunia.
“Perkembangan pesat LTdL membantu meletakkan nama Malaysia sebagai antara destinasi pelancongan utama dunia. Bukan itu sahaja, ia turut memberi manfaat kepada daerah, bandar dan pekan yang dilalui LTdL.
"LTdL ternyata amat sinonim dengan rakyat Malaysia dan penyertaan semula Sabah dan Sarawak pasti menambah keunikan dan cabaran baru kepada LTdL 2020,” katanya yang merasmikan sambutan Jubli Perak LTdL 2020 dalam suasana penuh warna warni dan bermakna di Menara Berkembar PETRONAS, malam tadi.
Dr Mahathir juga memuji usaha penganjur Human Voyage untuk terus mempopularkan sukan berbasikal di negara ini dengan menganjurkan dua perlumbaan unik sempena edisi ke-25 LTDL kali ini iaitu Kriterium Antarabangsa dan perlumbaan Klasik Malaysia.
Kedua-duanya menyerupai perlumbaan-perlumbaan klasik sehari yang amat terkenal dan mendapat sambutan meluas di Eropah.
Beliau juga mengakui peranan dan sumbangan pelbagai penaja yang terbabit menjayakan LTdL termasuk sokongan dan sumbangan besar PETRONAS iaitu Penaja Acara LTdL 2020.
“Buat pertama kalinya, kita menyaksikan bagaimana pelepasan utama LTdL 2019 berlangsung megah dengan berlatarbelakangkan Menara Berkembar Petronas di ibu negara. Terima kasih dan penghargaan kepada semua penaja di atas pelbagai sumbangan dan diharapkan pembabitan yang sama pada masa depan,” kata Dr Mahathir.

Ketua Pegawai Eksekutif Human Voyage (M) Sdn Bhd, Datuk Ahmad Mustafa (kiri) bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika pelancaran Majlis Sambutan Ulangtahun Le Tour De Langkawi ke 25 yang diadakan di Petronas Plaza, KLCC. - Foto Eizairi Shamsudin
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Human Voyage, Datuk Ahmad Mustafa menyeru rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan dan latar belakang bersatu memberi sokongan padu menjayakan LTdL 2020 dan menampilkan suasana harmoni serta kepelbagaian dan keunikan Malaysia, sesuai dengan imej dan status baru LTdL kali ini.
“Selain saingan getir di atas gelanggang, kami berharap dapat pergi lebih jauh menyebar dan menyemarakkan keseronokan LTdL kepada sebanyak mungkin rakyat dan peminat, bukan sahaja di Semenanjung, Langkawi, Sabah dan Sarawak, bahkan meliputi seluruh rantau Asia dan dunia,” katanya.
Dengan status sebagai perlumbaan ProSeries UCI, penganjur optimis menarik penyertaan pasukan ternama dari kelompok WorldTour, Pro Benua dan pasukan benua dari Asia, Oceania, Eropah, Amerika dan Oceania yang tersenarai pada kedudukan utama ranking dunia.
ProSeries, yang berada setakuk di bawah kategori tertinggi Siri Jelajah Dunia UCI (yang terdiri daripada Tour de France, Giro d’Italia, Vuelta Espana, saingan Klasik serta perlumbaan Jelajah Dunia lain), menyenaraikan hanya 30 perlumbaan berstatus Hors atau Kelas 1 daripada struktur pasukan UCI sebelum ini.
Saingan edisi ke-25 itu dijadualkan dari 7 hingga 14 Februari dengan membabitkan lapan peringkat perlumbaan, bermula di Kuching dan berakhir di Pulau Langkawi meliputi jarak keseluruhan sejauh 1095.7km.
LTdL 2020 membabitkan lapan negeri termasuk Sarawak, Terengganu, Pahang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor, Perak , Penang dan Kedah manakala Sabah pula diberi penghormatan sebagai tuan rumah bagi perlumbaan julung kali Kriterium Antarabangsa yang dijadualkan pada 6 Februari di Kota Kinabalu.
Acara rasmi Pengenalan Pasukan juga akan berlangsung di Kota Kinabalu pada 5 Februari 2020. Perlumbaan sehari Kriterium Antarabangsa di Kota Kinabalu pada 6 Februari dan perlumbaan Klasik Malaysia di Langkawi pada 15 Februari adalah dua perlumbaan khas yang diadakan bersempena sambutan Jubli Perak LTdL 2020.