KUALA LUMPUR: Kualiti persaingan dalam PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020 (LTdL) dijangka sengit dengan kehadiran tiga pasukan profesional benua Itali yang mengisi tiket wildcard bagi perlumbaan Grand Tour Giro d’Italia, 9 hingga 31 Mei ini.
Ketiga-tiga pasukan berkenaan perlu menunjukkan prestasi memberangsangkan sepanjang musim ini demi meyakinkan penganjur Giro, RCS Sport, yang menyediakan tempat untuk mereka bersaing dengan pasukan handalan berstatus World Team dalam perlumbaan besar itu.
Secara tidak langsung juga, Androni Giacattoli-Sidermec, Bardiani-CSF-Faizane dan Vini Zabu-KTM (sebelum ini Neri Sottoli-Selle Italia) perlu membuktikan tahap sebenar mereka pada LTdL 2020 sekali gus menjanjikan persaingan sengit di sepanjang lapan peringkat perlumbaan, bermula dengan majlis pengenalan pasukan di Kota Kinabalu pada 5 Februari ini.
Pengarah Giro d’Italia, Mauro Vegni pada minggu lalu mengumumkan RCS Sport memberikan tiga tiket wildcard itu kepada Androni, Bardiani dan Vini Zabu, untuk berkayuh di Giro, yang dijadual bermula di Budapest, Hungary dan berakhir di Milan.
Menariknya, ketiga-tiga pasukan itu sudah menghantar senarai awal pelumba kepada penganjur Human Voyage Sdn Bhd, dan berdasarkan senarai nama, ada beberapa pelumba yang pernah memenangi peringkat dalam LTdL sebelum ini.
Androni, yang dipimpin pengurus berkarisma Gianni Savio, dan mengumpul tiga kemenangan peringkat pada LTdL 2019, sedang melakukan persiapan yang baik apabila turut menyenaraikan Luca Pacioni, yang memenangi Peringkat 1 Vuelta a Tachira di Venezuela, dua minggu lalu.
Pacioni, pakar pecut berusia 26 tahun, memenangi peringkat dalam LTdL 2018 bersama Wilier Triestina, dan pernah menyarung jersi Androni pada musim 2016 dan 2017. Seorang lagi pakar pecut disenaraikan Androni untuk mengulangi kejayaan tiga kemenangan peringkat pada tahun lalu, adalah Luca Chirico, 27, yang pernah berkayuh dalam LTdL 2015 dan 2016 ketika bersama Bardani.
Dua pelumba yang dijangka akan membantu Pacioni dan Chirico untuk membawa mereka ke zon pecutan mahupun garisan penamat di peringkat laluan landai nanti ialah Nicola Venchiarutti dan Mattia Viel.
Kevin Rivera Serrano dan pelumba muda Ecuador, Jefferson Cepeda Ortiz adalah dua nama yang bakal mengetuai perebutan jersi kuning terutama di peringkat pendakian ke Genting Highlands pada Peringkat 4.
Serrano, pelumba Costa Rica yang dilamar tiga tahun lalu, memenangi Peringkat 6 ujian masa individu dan Peringkat 7 di Vuelta a Tachira, serta pernah menduduki tangga ke-25 keseluruhan pada LTdL 2018.
Pelumba lain yang disenaraikan Bardiani adalah Giovanni Lonardi, Fabio Mazucco, Alessandro Teodoro Monaco, Alessandro Pessot dan Daniel Savini, tetapi dua pelumba simpanan termasuklah Marco Benfatto dan Alessandro Tonelli.
Berita Harian Online, Isnin, 27 Januari 2020 | 8:25pm