Hari yang gemilang buat Sapura Cycling Team (TSC) pada saingan Le Tour de Langkawi (LTDL 2020) selepas cemerlang mempertahankan status selaku pasukan terbaik keseluruhan bagi tahun kedua berturut-turut.
Selain itu pelumba TSC Nur Aiman Zariff turut menempa nama sebagai pelumba pertama negara menyarung jersi merah raja bukit LTDL pada edisi kali ini.
Muncul selaku pelumba tunggal negara TSC pada LTDL kali ini Nur Aiman berada dalam kelas tersendiri untuk mempertahankan jersi merah raja bukit sejak peringkat kedua lagi.
Penguasaan penuh anak kelahiran Setiu itu untuk mengekalkan jersi merah serta sehingga peringkat akhir di Pulau Langkawi dengan cemerlang mengumpul 34 mata, 11 mata mengatasi pencabar di tempat kedua Quentin Pacher dari pasukan Vital Concept.
Lebih gemilang Aiman berada 16 mata dihadapan pelumba world tour Samuele Battistella dari pasukan NTT Pro Cycling.
Kejayaan TSC muncul juara keseluruhan Le Tour de Langkawi 2020 ini jelasnya dipacu kejayaan pakar pecut mereka Danilo Celano.
Pelumba kelahiran Itali itu unggul mempertahankan jersi kuning sejak penamat berkelas horse di Genting Highland pada peringkat keempat sekaligus mempertahankan jersi kuning untuk TSC dua tahun berturut-turut.
Peringkat kelapan LTDL 2020 bermula meriah di Dataran Lang Pulau Langkawi dimana majlis pelepasan 116 pelumba di kalangan 21 pasukan disempurnakan pencetus idea penganjuran LTDL iaitu Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamed tepat jam 3.00 petang.
Walaupun menampilkan jarak pendek sejauh 108.5 km pelumba disajikan dengan laluan sempit, berbukit dan mencabar menyaksikan semua pelumba akan mengelilingi Pulau Langkawi sebelum membuat 7 pusingan di sekitar pekan Kuah yang menawarkan 3 zon pecut dan 7 zon mendaki di Telaga Harbour.
Pelumba negara Nur Aiman Zariff membolot mata tertinggi di zon mendaki pertama sebelum Sarawoot Sirinorachai dari pasukan Thailand mendominasi tiga zon mendaki.
Berbaki 5 km semua pelumba kembali membentuk kelompok besar sebelum Max Walscheid mengorak kayuhan bertenaganya untuk muncul pantas di penamat Kuah dengan catatan masa 2:29:08 saat.
Tempat kedua milik Luca Pacioni dari pasukan Androni Giocattoli – Sidermec sementara Taj Jones dari ARA Pro Racing Sunshine Coast.
Dalam persaingan perebutan empat jersi utama pemiliknya tetap sama sejak peringkat keempat menyaksikan Danilo Celano dari Sapura Cyling Team dinobat pelumba terbaik kejohanan untuk menyarung jersi kuning.
Manakala jersi hijau raja pecut kekal disarung Max Walscheid dengan kelebihan 10 mata mengatasi pencabar ditempat kedua Taj Jones.
Jersi putih terbaik Asia dimiliki pelumba muda berusia 19 tahun Yevgeniy Fedorov mewakili Vino – Astana Motors.
Jersi merah sudah pasti menjadi milik Nur Aiman Zariff yang mencipta sejarah atlet pertama negara meraih gelaran raja bukit terbaik LTDL sejak ia mula dianjurkan sejak 1996.
Sukan Malaysia, 15 Februari 2020