Dalam pada itu berbaki 5 hari perlumbaan Le Tour De Langkawi 2020 nampaknya skuad negara sudah tidak sabar-sabar lagi untuk mempamerkan kayuhan bertenaga di halaman sendiri.
Antara yang menampilkan keazaman tinggi ialah bekas Raja Pecut 2010 Anuar Manan yang kembali menyarung jersi kebangsaan selepas kali terakhir bersama skuad negara pada 2009.
Anuar Manan antara enam pelumba yang terpilih mewakili skuad kebangsaan selepas menjalani sesi pemilihan.
Selepas 11 tahun tidak menyarung jersi negara, kelibat Anuar pastinya akan ditagih seluruh peminat tempatan berikutan reputasinya selaku pelumba pertama negara yang muncul juara peringkat dan memenangi gelaran raja pecut pada LTDL 2010.
Meskipun kini berat badannya bertambah dan hanya menjalani latihan selama dua minggu, pelumba kelahiran Kuala Terengganu itu tetap bersemangat untuk mencurahkan segala pengalaman dan keringat demi negara.
Selain Anuar lima lagi pelumba turut memiliki kelebihan dan kepakaran masing. Mereka adalah ketua pasukan Nik Mohd Azuan Zulkifli, Soffian Nabil Omar, Mohd Amin Mohd Kamal, Izzat Helmi Abd Halim dan pelumba muda Muhammad Danieal Haikal Eddy Suhaidee yang pertama kali berkayuh di LTDL.
Skuad berbasikal kebangsaan mahu mempertahankan gelaran kedua terbaik Asia pada edisi kali ini. LTDL 2020 dijadualkan bermula dari 6 hingga 15 Februari 2020 akan menjelajah Sabah dan Sarawak serta beberapa negeri di semenanjung Malaysia antaranya Terengganu, Pahang, Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.
Sementara itu pemilihan pelumba kebangsaan ke LTDL 2020 diputuskan sendiri jurulatih kebangsaan Mohd Yusuf Abd Nasir.
Meskipun kebiasaannya pemilihan pelumba perlu melalui proses pembentangan dan perbincangan bersama presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Abd Wahab, Mohd Yusuf tetap diberikan kebebasan memilih pelumba terbaiknya.
Dalam pada itu Mohd Yusuf turut menegaskan pemilihan pelumba ke LTDL kali ini bukannya disebabkan kekurangan pasukan jelajah dunia sebaliknya ia lebih kepada permulaan peringkat perlumbaan yang disediakan penganjur.
Kebanyakkan 8 peringkat perlumbaan kebanyakkannya menghidangkan laluan landai terutamanya peringkat kedua dari Kuala Terengganu ke Kertih.
Skuad kebangsaan berpeluang memenangi sekurang-kurangnya 1 peringkat perlumbaan sekiranya dua pakar pecut Anuar Manan Izzat Helmi Abd Ali mendapat bantuan secukupnya.
Sukan Malaysia, 2 Februari 2020