PETALING JAYA - Penganjur jelajah berbasikal tertua di Asia Petronas Le Tour De Langkawi 2020, Human Voyage akan memastikan langkah langkah keselamatan paling ketat diambil dan dipantau rapi melibatkan ketibaan pasukan, pegawai dan petugas media khususnya dari negara china.
Bagaimanapun, penganjur mengesahkan pasukan yang berpengkalan di China, Hengxiang Cycling sah menarik diri.
Ini susulan kes jangkitan Novel Coronavirus atau 2019-ncov yang sedang melanda negara china khususnya di Wuhan ketika ini.
Ketua pegawai operasi Human Voyage, Shahaizereen A Hamid menjelaskan kekosongan yang ditinggalkan Hengxiang Cycling tidak menjejaskan perlumbaan dan pengganti akan diumumkan kelak.
Asalnya tiga pasukan, Hengxiang Cycling, Giant Cycling dan Ssois Mioge Cycling merupakan tiga pasukan dari China yang mengesahkan penyertaan di LTDL edisi ke 25 tahun ini.
Bagaimanapun, tidak timbul kerisauan daripada pasukan pasukan luar selain dari China.
Petronas LTDL 2020 akan membuka tirainya dengan majlis pengenalan rasmi pasukan di Kota Kinabalu, Sabah pada 5 Februari sebelum bermula peringkat 1 dimulakan di Padang Merdeka di Kuching, Sarawak pada 7 Februari.
Perlumbaan dijangka berakhir dengan peringkat ke 8 di Pulau Langkawi, membabitkan jarak keseluruhan seribu 114.9kilometer yang merentasi sembilan buah negeri.
Sempena sambutan ulang tahun ke-25, Human Voyage akan turut menganjurkan perlumbaan kriterium antarabangsa di Kota Kinabalu pada 6 Februari serta perlumbaan klasik Malaysia di Pulau Langkawi pada 15 Februari.
Berita RTM, Januari 28, 2020