LANGKAWI: Perlumbaan Klasik Malaysia yang dianjurkan bersempena PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 dimenangi pelumba Perancis daripada pasukan B&B Hotels Vital Concept, Johan Le Bon, hari ini.
Le Bon melengkapkan kayuhan sejauh 159 kilometer (km) dengan catatan tiga jam 37 minit 03 saat dalam perlumbaan yang menyaksikan penamat beramai-ramai itu tatkala Jesse Ewart (Team Sapura Cycling) berada di tangga kedua. Melengkapkan pentas podium Lucas de Rossi dari pasukan Nippo Delko Provence.
Le Bon, 29, berkata, dia gembira dengan kemenangannya itu sekali gus memberi tonik berharga untuk dirinya dan pasukan bagi memulakan musim 2020.
"Saya melakukan serangan pada saat akhir bersama pelumba Sapura (Ewart), apa yang perlu kami lakukan adalah mengelak kelompok lain dan berada di depan dan kami mampu melakukannya," kata Le Bon yang kali terakhir meraih kemenangan di Eneco Tour 2015.
"Ia satu perlumbaan yang mencabar terutamanya dengan cuaca panas, apatah lagi kesemua pelumba baharu saja selesai berlumba di PETRONAS LTdL dan kami agak keletihan.
"Ia sesuatu yang baik apabila memenangi perlumbaan ini. Ini kemenangan pertama pasukan untuk tahun ini dan juga kemenangan pertama saya selepas sekian lama. Tentunya saya sangat gembira."
Raja Bukit PETRONAS LTdL 2020, Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff yang mewakili Team Sapura Cycling sekali lagi membuktikan kemampuannya apabila menyarung jersi merah pada perlumbaan julung kali diadakan ini.
"Saya kemalangan dalam baki 2km sebelum tamat dan saya dapati ada masalah di bahagian brek. Ini menyebabkan saya tidak boleh berkayuh dengan lebih pantas," katanya yang mengumpul mata pada tiga daripada enam zon pendakian disediakan.
Berita Harian, 15 Februari 2020