Kejayaan pelumba terdahulu bakar semangat Aiman raih jersi merah

LANGKAWI 15 Feb. – Dua pemenang terdahulu dari Terengganu dalam siri Le Tour de Langkawi (LTdL) telah memberi motivasi kepada Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff untuk meneruskan tradisi pencapaian cemerlang anak tempatan pada edisi ke-25 perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) yang melabuhkan tirainya hari ini.


Lebih membanggakan, pelumba Team Sapura Cycling (TSC) itu menamatkan penantian gelaran Raja Bukit (jersi Merah) sejak edisi pertama pada 1996.


Pencapaian itu meletakkan Aiman sebaris dengan Anuar Manan yang pernah menyarung jersi Hijau (Raja Pecut) pada 2010 dan Adiq Hussaini Othman – jersi Putih (Pelumba Terbaik Asia) pada 2016.


Malah, TSC turut muncul selaku pasukan terbaik keseluruhan dengan catatan 80 jam 02 minit 45 saat manakala satu lagi pasukan tempatan, Terengganu Cycling Team (TSG) berada di tempat kedua dengan perbezaan 04:48s.


Ironinya, ketiga-tiga pelumba berkenaan berasal dari Terengganu yang merupakan ‘kilang’ menghasilkan pelumba berkualiti untuk Malaysia di pentas antarabangsa.


“Syukur, Alhamdulillah, sepanjang lima tahun menyertai LTdL, ini merupakan pencapaian terbaik saya dan kejayaan ini untuk rakyat Malaysia serta tujukan kejayaan ini kepada kedua ibu bapa yang beri sokongan sebelum bermulanya setiap perlumbaan.


“Tidak lupa kepada pengurus pasukan, Ahmad Sayuti Mohd Zahit serta rakan sepasukan yang banyak beri sokongan kepada saya…terima kasih banyak-banyak kepada sesiapa yang sentiasa mendoakan kejayaan saya,” kata Aiman ketika ditemui pemberita selepas berakhirnya peringkat kelapan dan terakhir LTdL 2020, di sini.


Pelumba berusia 22 tahun itu berjaya mempertahankan jersi Merah yang disandangnya sejak peringkat ketiga di Kuala Lumpur pada Ahad lalu setelah mengutip 34 mata, disusuli dua pencabarnya iaitu pelumba Perancis, Quentin Pacher (B&B Hotels-Vital Concept) dan pelumba Itali, Samuele Battistella dari pasukan NTT Pro Cycling Team yang masing-masing mengumpul 23 dan 18 mata.


Mengulas lanjut, Aiman menyifatkan kejayaan hari ini tidak hadir tanpa sokongan serta kerjasama erat daripada rakan sepasukan, barisan kru pasukan serta pelumba berpengalaman negara, Mohd Harrif Saleh dari TSG Team.


Dalam pada itu, Mohd Harrif jelas teruja dengan kemenangan dilakar Muhamad Nur Aiman dan yakin pelumba muda itu mempunyai masa depan cerah untuk terus melakar nama di pentas antarabangsa.


Sambil menyifatkan Aiman umpama seperti adik sendiri, Mohd Harrif mengakui beliau tidak terkejut dengan kejayaan berkenaan memandangkan mereka berdua pernah melalui pelbagai suka duka sejak beraksi untuk negeri Terengganu dalam beberapa kejohanan kebangsaan, selain pernah menjadi rakan sepasukan dalam TSG.


Nur Aiman menyertai pasukan TSC daripada TSG pada 2018.


“Kami berdua main basikal sejak kecil lagi dan beliau selalu datang ke rumah saya, dan kami berdua sentiasa bertukar-tukar peralatan basikal dan itu yang mengeratkan hubungan kami sehingga kini.


“Saya tumpang bangga dengan kejayaan beliau, dan tidak ada perasaan iri hati di antara satu sama lain sekiranya pasukan Sapura atau TSG memenangi apa-apa kejohanan,” jelas Mohd Harrif.


Ditanya mengenai prestasinya pada saingan LTdL 2020, Mohd Harrif mengakui kejayaan meraih dua kemenangan peringkat adalah pencapaian terbaik sejak membuat penampilan sulung pada edisi 2008.


Menurutnya kejayaan bermakna pada LTdL membuktikan pelumba Malaysia mampu bersaing dengan pelumba pasukan Jelajah Dunia dan pasukan profesional benua.


Beliau sebelum ini memenangi peringkat kelima dari Kuala Kubu Bharu ke Ipoh pada Selasa lalu, sebelum meraih kemenangan peringkat ketujuh dari Bagan ke Alor Setar, semalam.


Mohd Harrif sebelum ini meraih kemenangan peringkat sulung pada edisi 2019 setelah mengungguli peringkat kedua dari Dataran Senawang ke Melaka. --BERNAMA



Melaka Kini, 15 Februari 2020




MEDIA

RACE EXPERIENCE

INFORMATION

SOCIAL

25TH ANNIVERSARY

ARCHIVE

Organiser of PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020. 165-5-12 Wisma Mutiara, Jalan Sungai Besi, 57100 Kuala Lumpur, Malaysia.

Copyright © 2020 Le Tour de Langkawi. All Rights Reserved. Managed by Human Voyage (M) Sdn. Bhd (733191-V).