KUALA LUMPUR: Penganjur Human Voyage sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan berusaha sejak awal untuk memastikan perlumbaan yang lancar di peringkat Borneo pada jelajah PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020 yang membuka tirainya minggu ini.
Ketika pasukan, pelumba, pegawai dan jemputan mula tiba di Kota Kinabalu menjelang Majlis Pengenalan Pasukan dan perlumbaan Kriterium Antarabangsa Malaysia, 5 dan 6 Februari ini, Human Voyage yang diterajui Ketua Pegawai Operasi (COO) Shahaizereen A Hamid, sudah meningkatkan usaha untuk memastikan segala aspek perlumbaan tidak berdepan masalah, termasuk mengambil langkah keselamatan kesihatan berikutan penularan wabak coronavirus.
Perincian mengenai perjalanan melalui darat dan udara pasukan, pegawai serta seluruh kakitangan ke Kota Kinabalu dan Kuching diberi perhatian khusus bagi mengelakkan sebarang masalah yang boleh menjejaskan logistik.
Kesemua 21 pasukan sudah mengesahkan penyertaan dalam LTdL 2020 ini, yang akan bermula dengan perlumbaan Kriterium Antarabangsa Malaysia di Padang Merdeka, Kota Kinabalu pada Khamis ini. Acara julung kali dianjurkan ini adalah bersempena sambutan ke-25 tahun Jubli Perak penganjuran LTdL tahun ini.
Perlumbaan sebenar Peringkat 1 akan diadakan Jumaat ini di Padang Merdeka, Kuching. Ini adalah penganjuran kali kedua selepas kali pertama pada 1997, kerana laluan perlumbaan selepas itu tertumpu di Semenanjung di mana Kuala Lumpur dan Pulau Langkawi sering menjadi lokasi mula dan penamat.
“Semua jabatan berkaitan termasuk agensi dari pihak berkuasa tempatan sudah sedar tanggungjawab yang perlu digalas. Kami sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan berharap dapat menyediakan suasana perlumbaan dan keselamatan yang selesa untuk pelumba, pasukan, pegawai dan seluruh warga kerja sepanjang jelajah ini,” kata Shahaizereen.
Pasukan yang sudah mengesahkan penyertaan dalam edisi LTdL tahun ini termasuklah satu pasukan bertaraf Jelajah Dunia, lima pasukan profesional benua, 14 pasukan benua dan satu pasukan kebangsaan (Malaysia). Dua pasukan yang berpangkalan di China - Hengxiang dan Giant Racing – menarik diri lebih awal berikutan penularan wabak maut di Wuhan.
Juara baharu akan dinobatkan kali ini kerana juara 2019, Benjamin Dyball (bekas pelumba Team Sapura Cycling) tidak akan mempertahankan gelarannya. Dyball disambar pasukan Jelajah Dunia dari Afrika Selatan, NTT Pro Cycling yang diramal menjadi tumpuan kali ini berdasarkan status dan reputasinya itu.
Tiga pasukan profesional benua dari Itali yang sering mengambil bahagian juga mahu membuktikan kehandalan mereka manakala Perancis, Jepun, Indonesia dan Australia juga akan menampilkan wakil masing-masing dalam peloton tahun ini.
Selain tumpuan perlumbaan di atas jalan raya, pelbagai acara berkaitan komuniti dan masyarakat setempat diadakan termasuk kayuhan santai dan pameran mini, yang akan diadakan di lokasi permulaan dan penamat pada sepanjang lapan hari perlumbaan.
Perlumbaan lapan peringkat PETRONAS LTdL 2020 dijadual berlangsung pada 7 hingga 14 Februari 2020, meliputi jarak keseluruhan 1,145.9 kilometer merentasi Sembilan negeri termasuk Sarawak, Terengganu, Pahang, Wilayah Persekutuan (Putrajaya dan Kuala Lumpur), Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.
PASUKAN DISAHKAN BERTANDING (sehingga 2 Februari 2020)
NTT Pro Cycling Team (RSA)
Androni Giacatolli-Sidermec (ITA)
Bardian CSF Fanzane (ITA)
Nippo Delko One Provence (FRA)
Vini Zabu KTM (ITA)
B&B Hotels-Vital Concept (FRA)
Aisan Racing team (JPN)
Team Bridgelane (AUS)
PGN Cycling Team (INA)
KSPO Professional (KOR)
ARA Pro Racing Sunshine Coast (AUS)
SSOIS Miogee Cycling Team (CHN)
St George Continental Team (AUS)
Team Sapura Cycling (MAS)
Terengganu Inc. TSG Cycling Team (MAS)
Thailand Continental Team (THA)
Vino-Astana Motors (KAZ)
Wildlife Generation Pro Cycling (USA)
Utsunomiya Blitzen (JPN)
HKSI (Hong Kong)
Pasukan Kebangsaan Malaysia
Berita Harian, 3 Februari 2020