top of page

Jersi Kuning milik Syritza


KUALA LUMPUR, 11 Oktober - Pelumba Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritza melaungkan amaran awal apabila memenangi perlumbaan Peringkat 1 PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 yang berakhir di Menara Berkembar Petronas (KLCC) pada Selasa.


Pada perlumbaan sejauh 157.3 kilometer (km) yang bermula dari Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu,Syritza mencatatkan masa 3 jam 43.43 saat (s), sekali gus menyambar gelaran sulungnya di pentas LTdL.


Tempat kedua Peringkat 1 itu dimenangi pelumba Uno-X Pro Cycling, Erlend Blikra manakala pelumba Movistar Team, Max Kanter menduduki tempat ketiga apabila mereka turut merakamkan catatan masa 3:43.43s.



"Saya berasa amat gembira apabila dapat memenangi perlumbaan hari ini. Sudah tentu saya cukup teruja apabila dapat memenangi perlumbaan buat kali pertama di sini (LTdL).


"Kemenangan ini menambahkan lagi semangat saya bagi menghadapi perlumbaan esok. Saya harap dapat mengekalkan Jersi Kuning ini sebagai pendahulu pada perlumbaan esok," kata Syritza sejurus tamat perlumbaan.


Mengulas perlumbaan Peringkat 1 itu, Syritza berkata, dia berusaha mengekalkan momentum kayuhan sejak awal untuk berada dalam kelompok di hadapan.


"Saya juga harus berterima kasih kepada rakan-rakan sepasukan yang banyak membantu pada perlumbaan hari ini sehingga membolehkan saya meraih kemenangan," jelasnya yang turut menyarung Jersi Hijau selaku Raja Pecut.


Sementara itu, pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Jambaijamts Sainbayar menyambar Jersi Putih (pelumba terbaik Asia) dan Jersi Merah (Raja Bukit) selepas berakhirnya Peringkat 1.


Pelumba kelahiran Mongolia itu menampilkan kayuhan bertenaga apabila mengumpul 15 mata manakala rakan sepasukannya yang juga pelumba tempatan, Muhammad Nur Aiman Zariff turut cemerlang apabila berada si tangga kedua dengan 11 mata di zon pendakian.


Peringkat 2 pada Rabu dijadualkan berlangsung dari Kuala Kelawang ke Raub yang membabitkan laluan sejauh 178.9km dan menyediakan dua zon pendakian di Petaseh (kilometer 8.2) dan Bukit Damar (kilometer 122.8).


Selain dua zon pendakian, Peringkat 2 itu turut mempunyai tiga zon pecutan iaitu di Simpang Durian (kilometer 42.7), Karak (kilometer 96.8) dan Mempaga (kilometer 144.1).




bottom of page