Hasil kerjasama sepasukan - Walscheid

SELEPAS tiga hari saingan perlumbaan PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 Maximilian Walscheid dari NTT Team pasukan berstatus WorldTour akhirnya berjaya menduduki podium selaku juara peringkat.


Saingan yang menawarkan jarak 162.5 kilometer (km) menyaksikan Walscheid berjaya menamatkan perlumbaan di hadapan Menara Petronas dengan catatan masa tiga jam 51 minit 42 saat.


Dia yang muncul juara kreterium pengenalan di Kota Kinabalu Sabah Khamis lalu menewaskan Riccardo Minali (Nippo Delco Provence) dan Ahmet Orken (Team Sapura Cycling) masing-masing tempat kedua dan ketiga.


Pada perlumbaan semalam pasukan Vino-Astana Motors mengemudi peloton besar sepanjang saingan untuk memastikan jersi kuning kekal milik Yevgeniy Fedorov apabila berjaya menangkap tiga pelumba yang membuat pemecahan ketika perlumbaan berbaki 2km sebelum tamat.


Barisan pelumba NTT bagaimanapun berjaya memainkan peranan mencelah dalam kelompok besar pada baki 500 meter terakhir untuk membuka ruang kepada Walscheid melonjak ke depan seterusnya muncul juara peringkat ketiga.


Walscheid, 26, berterima kasih kepada rakan pasukan dan nekad untuk membantu rakannya Louis Meintjes pada peringkat 4 esok, dari Putrajaya ke Genting Highlands.


“Saya rasa selesa ketika pendakian tapi masih ketinggalan sedikit di belakang.


“Tapi kami dapat membentuk kerjasama pasukan yang baik. Mereka yakin dengan keupayaan saya dan mengerah keringat yang ada untuk kejar kelompok pemecah dan menang hari ini.


“Saya gembira dapat menamatkan perlumbaan hari ini dengan kemenangan dan esok masa untuk saya balas jasa Meintjes,” katanya.


Kejayaan Walscheid itu membolehkannya merampas Jersi Hijau PETRONAS.


Bagaimanapun Fedorov daripada pasukan Vino Astana Motors masih kekal menyarung Jersi Kuning PETRONAS dan putih tatkala saingan sebenar PETRONAS LTdL 2020 dijadual memasuki peringkat paling sukar dari Putrajaya ke Genting Highlands, esok.



Harian Metro, 9 Februari 2020

MEDIA

RACE EXPERIENCE

INFORMATION

SOCIAL

25TH ANNIVERSARY

ARCHIVE

Organiser of PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020. 165-5-12 Wisma Mutiara, Jalan Sungai Besi, 57100 Kuala Lumpur, Malaysia.

Copyright © 2020 Le Tour de Langkawi. All Rights Reserved. Managed by Human Voyage (M) Sdn. Bhd (733191-V).