Harrif menang lagi, Celano kekal jersi kuning

ALOR STAR, 13 Feb 2020 - SEDAR peluangnya untuk mengutip kemenangan pada peringkat terakhir nanti lebih sukar, pelumba Terengganu Inc TSG Cycling Tea, Harrif Saleh mengerah kudratnya padahari ini untuk menang Peringkat 7 PETRONAS-Le Tour de Langkawi 2020 (LTdL), sekali gus mengukir sejarah hebat dalam kariernya dan sebagai pelumba negara.


Harrif mendahului peloton memasuki 150 meter terakhir dan memenangi henjutan terakhir beramai-ramai pada peringkat agak pendek dan landai itu, selesa mengatasi asakan pakar pecut Bardiani, Matteo Pelucchi dan pelumba ARA Pro Racing Sunshine Coast, Taj Jones, dengan catatan 2 jam 53 minit 18 saat.


Ia adalah kemenangan peringkat kali kedua Harrif dalam edisi kali ini selepas Peringkat 5 di Ipoh, dan ketiga dalam sejarah penyertaannya di dalam LTdL – meletakkannya pelumba Asia paling berjaya sepanjang sejarah 25 tahun penganjurannya.


Di akhir kayuhan sejauh 130.4km dengan purata kelajuan mencecah 45.15kmj itu, pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Danilo Celano dan pelumba negara, Muhammad Nur Aiman Zariff masing-masing terus mengekalkan jersi kuning pendahulu keseluruhan dan jersi merah Raja Bukit yang disarung mereka.


Jersi hijau Raja Pecut juga masih menjadi milik pelumba pasukan World Team, NTT Pro Cycling, Maximilian Richard Walscheid dengan 47 mata, tetapi dia semakin dekat dicabar Jones yang mengekori 2 mata di belakang serta Harrif yang hanya ketinggalan 5 mata.


Pelumba Vino Astana-Motors yang juga pemenang pada Peringkat 1 di Kuching, Yevgeniy Fedorov juga masih mengekalkan jersi putih selaku Pelumba Terbaik Asia, menjelang Peringkat 8 dan terakhir yang akan diadakan di Pulau Langkawi, esok.


Namun tidak dinafikan, Harrif mempunyai kelebihan tenaga dan daya dalam kalangan pakar pecut dari 21 pasukan yang menyertai jelajah kali ini, dan pada penamat di hadapan Menara Alor Setar itu, dia sekali lagi membuktikan kekuatan sepasang kakinya ketika henjutan terakhir.


“Sukar untuk diungkapkan tetapi mungkin kondisi tubuh saya berada pada tahap yang bagus ketika ini dan ia menyuntik keyakinan kepada saya, malah sebelum bermula jelajah ini, saya rasa saya cukup bersedia untuk menghadapi LTdL tahun ini.


“Hari ini saya hanya mengekori pelumba di depan ketika peloton menghampiri garisan penamat dan apabila terlihat ada ruang yang agak luas pada jarak 200 meter terakhir, saya tahu ini peluang terbaik untuk menang. Dan sebaik mendapat ruang terbuka di depan, saya terus fokus kepada pecutan terakhir.


“Ketika memotong Pelucchi, saya tahu tiada pelumba lain lebih pantas dalam pecutan terakhir itu. Saya gembira dengan kemenangan ini kerana ia membuktikan pelumba Asia dan Malaysia juga mampu menang dalam perlumbaan besar.


“Namun ia bukanlah perlumbaan mudah kerana ada kumpulan yang membuat pemecahan awal, menyebabkan rakan sepasukan saya juga bekerja keras dalam peloton untuk mengejar. Malah, Carlos (Quintero) dan Nur Amirull (Fakhruddin Mazuki) banyak melindungi saya ketika ada tiupan angin lintang.


“Peringkat terakhir esok ada beberapa zon pendakian, sebab ituah saya bermati-matian untuk menang hari ini kerana sedar peluang esok agak sukar,” kata pelumba 31 tahun negara itu.


Peringkat 8 dan terakhir LTdL 2020 esok membabitkan kayuhan sejauh 108.5km yang akan bermula di Dataran Lang, mengelilingi pulau pelancongan itu dan berpatah ke Pekan Kuah dengan enam pusingan loop.


Selain tiga zon pecutan di Telaga Harbour serta dua lagi pada loop ketiga dan keenam, peloton juga perlu menempuh tujuh zon pendakian berstatus KOM3, yang menyaksikan persaingan sengit mungkin berlaku untuk perebutan jersi merah Raja Bukit.


Sempena ulang tahun sambutan jubli perak penganjuran LTdL 2020 ini, penganjur Human Voyage Sdn Bhd turut menganjurkan perlumbaan Kriterium Antarabangsa Malaysia di Kota Kinabalu pada 6 Februari lalu dan Perlumbaan Klasik Malaysia di Pulau Langkawi, Sabtu ini.


MEDIA

RACE EXPERIENCE

INFORMATION

SOCIAL

25TH ANNIVERSARY

ARCHIVE

Organiser of PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020. 165-5-12 Wisma Mutiara, Jalan Sungai Besi, 57100 Kuala Lumpur, Malaysia.

Copyright © 2020 Le Tour de Langkawi. All Rights Reserved. Managed by Human Voyage (M) Sdn. Bhd (733191-V).