PUTRAJAYA: Pendakian getir berstatus Hors ke puncak Genting Highlands pada perlumbaan PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 bukan sahaja menjanjikan persaingan sengit merebut jersi kuning serta juara keseluruhan.
Malah, cabaran peringkat keempat itu juga bakal menyerlahkan suasana pesta penuh warna-warni di sepanjang laluan ke puncak penamat setinggi 1,650 meter di Resorts World Genting.
Terkenal dengan julukkan 'Queen Stage', pendakian ke Genting Highlands yang dijadual pada 10 Februari yang bermula dari pekarangan Perbadanan Putrajaya menuju ke puncak Genting di Resorts World Genting pasti ditunggu peminat.
Bertempat di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini, Genting Malaysia Berhad diperkenalkan sebagai penaja utama perlumbaan edisi ke-25 yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Penajaan Genting Malaysia Berhad pada edisi kali ini merangkumi tajaan tunai dan barangan berjumlah RM5 juta.
Peringkat keempat dengan jarak 156.1 kilometer dari Putrajaya ke Genting bakal memberi gambaran awal terhadap kemampuan sebenar pelumba dan pasukan dalam perebutan kejuaraan keseluruhan.
Tahun lalu, pelumba Sapura Cycling, Benjamin Dyball dari Australia muncul sebagai juara peringkat di Genting sekali gus dinobat juara keseluruhan.
Genting Highlands kembali disenarai pada tahun lalu selepas tidak tersenarai selama empat tahun.
“Kehadiran Resorts World Genting sebagai salah satu venue pada LTdL tahun lalu meningkatkan lagi reputasi perlumbaan," kata Syed Saddiq.
"Saya sangat gembira. Peringkat (perlumbaan) Genting ini satu peringkat dinanti-nantikan semua peminat LTdL di Malaysia dan di luar negara. Saya yakin, apabila mereka melihat betapa sukarnya peringkat ini... ia akan menarik minat rakyat Malaysia dan luar negara menggunakan laluan di Genting ini selepas tamatnya saingan.
"Ini satu peluang yang unik untuk mempromosi laluan Genting ini dan juga Malaysia secara amnya. Genting juga rakan akrab LTdL dan tahun ini bersama sebagai penaja utama. Saya berterima kasih kepada Genting."
Bersempena edisi Jubli Perak LTdL kali ini, Genting Malaysia Berhad juga turut memberi sumbangan apabila menjadi penaja utama bagi Perlumbaan Kriterium Antarabangsa Malaysia 2020 yang dijadual berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah, 6 Februari ini.
Untuk kali ini, 132 pelumba daripada 22 pasukan dijangka menyertai PETRONAS LTdL yang merangkumi pasukan Jelajah Dunia, Profesional Benua dan Benua dari Eropah, Asia, Oceania, Afrika dan Amerika Syarikat.
Perlumbaan lapan peringkat ini dijadual berlangsung dari 6 hingga 15 Februari, meliputi jarak 1114.9 kilometer (km) merentasi sembilan negeri termasuk Sarawak, Terengganu, Pahang, Wilayah Persekutuan, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.
Berita Harian, 30 Januari 2020