PELUMBA Kazakhstan dari pasukan Vino Astana Motors, Yevgeniy Fedorov muncul pemenang Peringkat 1 saingan PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 di Kuching, Sarawak.
Dia yang menamatkan saingan sejauh 85.6 kilometer (km) di Padang Merdeka, Sarawak dengan catatan1 jam 51 minit 1 saat itu hanya dicabar Thurakit Boonratanathanakorn dari pasukan kebangsaan Thailand dalam aksi penamat satu dua.
Pelumba Sapura Cycling Team, Ahmet Orken (+1:17s) dari kumpulan pengejar ditempat ketiga, melengkapkan kedudukan podium pada saingan pembukaan LTdL.
Ketika ramai menjangkakan penamat beramai-ramai berikutan laluan landai yang menawarkan tiga zon pecutan, Fedorov mencuba nasib melakukan pemecahan awal di kilometer 28 namun berjaya dikejar Thurakit ketika di km 32.
Mereka mengekalkan momentum kayuhan itu sehingga tamat saingan dengan kelebihan 1:17s. Bagi Fedorov yang bergelar juara remaja Asia tahun lalu berkata, dia tidak menyangka percubaan untuk melakukan pemecahan berjaya kekal hingga ke penamat perlumbaan.
Kejayaan Fedorov itu membolehkannya membolot tiga jersi ditawarkan iaitu Jersi Kuning PETRONAS (pendahulu keseluruhan), Jersi Hijau PETRONAS (raja pecut) dan Jersi Putih (pelumba terbaik Asia).
Sementara itu, pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh muncul pelumba terbaik tempatan selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-10. Tamat aksi perlumbaan di Malaysia Timur, saingan LTdL kembali ke semenanjung untuk peringkat 2 di Kuala Terengganu ke Kerteh, laluan paling panjang pada edisi kali ini esok. #PETRONASLTDL2020 #PengejarImpian
Harian Metro, 7 Februari 2020