FAMA yakin capai sasaran jualan RM1 juta sempena LTdL 2020

GEORGETOWN - Jumlah nilai jualan keseluruhan menerusi program MyBest Buy (MBB) sempena perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 setakat ini sudah mencecah RM414,849.40.


Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Ishak Ismail berkata, pihaknya yakin jumlah itu akan terus meningkat bagi mencapai sasaran RM1 juta sepanjang perlumbaan yang bermula pada 6 hingga 15 Februari ini.


“Kami menyasarkan nilai jualan sebanyak RM50,000 di Pulau Pinang. Fama menyasarkan nilai jualan akan meningkat di negeri ini,” katanya pada sidang media sempena program MBB Fama@LTdL di Padang Kota di sini hari ini.


Beliau berkata, ini adalah kali kedua Fama menyertai LTdL 2020 menerusi acara sampingan iaitu MBB yang dilaksanakan selama dua hari dan turut mengetengahkan komoditi nanas MD2 sebagai ‘fruit of the event’.


Menurut beliau, sempena program MBB Fama@LTdL, FAMA juga mengagihkan produk Agromas bernilai RM27,000 kepada penonton di sepanjang laluan perlumbaan membabitkan 10,000 pek biskut dan 10,000 botol minuman sedia minum.


Selain itu katanya, di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Fama, Jom Kongsi Rezeki pula sebanyak 400 penerima di bawah kategori B40 (golongan berpendapatan rendah) telah mendapat manfaat, termasuk 60 orang penerima di Pulau Pinang.


Fama mengetengahkan program MBB di sembilan buah lokasi seluruh Malaysia iaitu di Sabah, Sarawak, Terengganu, Kuala Lumpur, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Langkawi sepanjang 10 hari perlumbaan berlangsung.


Beliau berkata, setakat ini sambutan yang diterima menerusi program MBB tidak terjejas walaupun negara kini berdepan dengan penularan jangkitan penyakit virus korona 2019 (Covid-19), dan meminta agar peniaga sentiasa menjaga kebersihan diri dan gerai masing-masing. - Bernama



Sinar Harian, 13 Februari 2020

MEDIA

RACE EXPERIENCE

INFORMATION

SOCIAL

25TH ANNIVERSARY

ARCHIVE

Organiser of PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020. 165-5-12 Wisma Mutiara, Jalan Sungai Besi, 57100 Kuala Lumpur, Malaysia.

Copyright © 2020 Le Tour de Langkawi. All Rights Reserved. Managed by Human Voyage (M) Sdn. Bhd (733191-V).