Dua pasukan Jelajah Dunia minat sertai LTdL tahun depan

LANGKAWI - [DIKEMASKINI] Dua pasukan Jelajah Dunia dari benua Eropah sudah menyatakan persetujuan awal untuk menyertai edisi ke-26 perlumbaan berprestij Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 pada tahun depan.


Tanpa mendedahkan nama pasukan berkenaan, ketua pegawai Operasi Human Voyage (M) Sdn Bhd, Shahaizereen A Hamid berkata, dua pasukan itu tertarik dengan kejayaan penganjuran LTdL tahun ini walaupun diselubungi pelbagai masalah termasuk kekurangan penyertaan pasukan Jelajah Dunia selain penularan Covid-19.


“Pasukan Jelajah Dunia dari Afrika Selatan, NTT Pro Cycling Team juga tidak menolak kemungkinan kembali ke Malaysia tahun depan untuk menyertai perlumbaan berbasikal terulung Asia berkenaan," katanya pada sidang media di sini, malam tadi.


Dalam pada itu, Shahaizereen memaklumkan pihaknya akan memperhebatkan promosi LTdL terutamanya aktiviti sampingan bagi memastikan edisi ke-26 pada tahun depan mendapat sambutan yang lebih meriah berbanding edisi tahun ini.


Beliau turut menjelaskan beberapa kerajaan negeri menyatakan minat untuk menjadi tuan rumah LTdL pada 2021.


"Kita akan melihat kembali keseluruhan perjalanan dan juga laluan perlumbaan yang akan dicadangkan kepada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terutamanya dari segi teknikal dan pelancongan sesetengah tempat," katanya.


Beliau berkata Sabah dan Sarawak yang menjadi venue LTdL 2020 berminat untuk terus menjadi tuan rumah pada tahun depan susulan sambutan baik dalam kalangan penduduk kedua-dua negeri.


Penganjuran LTdL pada tahun ini kembali ke Sabah dan Sarawak setelah kali terakhir diadakan pada 1997.


Dalam pada itu, Shahaizereen berkata, beliau amat berpuas hati dengan kesungguhan semua pihak termasuk kesemua 21 pasukan bertanding bagi memastikan penganjuran LTdL 2020 berjalan lancar.


Human Voyage diberi hak sebagai penganjur LTdL oleh KBS dari 2019 sehingga 2021.

Edisi ke-25 ini juga menyaksikan kecemerlangan pasukan Team Sapura Cycling (TSC) apabila merangkul gelaran pasukan terbaik keseluruhan serta dua jersi dipertandingkan - jersi kuning (juara keseluruhan) menerusi pelumbanya Danilo Celano dari Itali manakala jersi merah (Raja Bukit) dimiliki Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff.


Jersi hijau (Raja Pecut) dimiliki pelumba Jerman dari NTT Pro, Maximilian Richard Walscheid manakala jersi putih (pelumba terbaik Asia) diraih oleh pelumba Itali, Yevgeniy Fedorov dari pasukan Vino Astana Motors. - Bernama


Keputusan LTdL 2020

Peringkat 8

(10 Pelumba Terbaik)

1. Maximilian Richard Walscheid (GER) NTT Pro Cycling Team

2. Luca Pacioni (ITA) Androni Giocattoli-Sidermec

3. Taj Jones (AUS) Ara Pro Racing Sunshine Coast

4. Muhammad Danieal Haikkal Edy Suhaidee (MAS) Pasukan kebangsaan Malaysia

5. Gleb Brussenskiy (KAZ) Vino-Astana Motors

6. Kent Ross (USA) Wildlife Generation Pro Cycling

7. Bernard Benjamin Van Aert (INA) PGN Road Cycling Team

8. Giovanni Lonardi (ITA) Bardiani CSF Faizane

9. Keigo Kusaba (JPN) Aisan Racing Team

10. Pierpaolo Ficara (ITA) Team Sapura Cycling

Pendahulu Keseluruhan (Jersi Kuning)

1. Danilo Celano (ITA) Team Sapura Cycling (26 jam 39 minit 58 saat)

2. Yevgeniy Fedorov (KAZ) Vino-Astana Motors (26:40.24s)

3. Artem Ovechkin (RUS) Terengganu Cycling Team (26:40.33s)

Raja Pecut (Jersi Hijau)

1. Maximilian Richard Walscheid (GER) NTT Pro Cycling Team (65 mata)

2. Taj Jones (AUS) Ara Pro Racing Sunshine Coast (55 mata)

3. Mohd Harrif Saleh (MAS) Terengganu Cycling Team (44 mata)

Raja Bukit (Jersi Merah)

1. Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff (MAS) Team Sapura Cycling (34 mata)

2. Quentin Pacher (FRA) B&B Hotels-Vital Concept (23 mata)

3. Samuele Battistella (ITA) NTT Pro Cycling Team (18 mata)

Pelumba Terbaik Asia (Jersi Putih)

1. Yevgeniy Fedorov (KAZ) Vino-Astana Motors (26 jam 40 minit 24 saat)

2. Hideto Nakane (JPN) Nippo Delko One Provence (26:41.32s)

3. Fung Ka Hoo (HKG) HKSI Pro Cycling Team (26:43.52s)

Pasukan terbaik keseluruhan

1. Team Sapura Cycling (80 jam 02 minit 45 saat)

2. Terengganu Cycling Team (80:07.33s)

3. Thailand Continental Cycling Team (80:12.09s)

Pasukan Terbaik Asia

1. Thailand Continental Cycling Team (80:12:09s)

2. Vino-Astana Motors (80:13.01s)

3. Team Hong Kong China 80:18.36s



Sinar Harian, 15 Februari 2020

MEDIA

RACE EXPERIENCE

INFORMATION

SOCIAL

25TH ANNIVERSARY

ARCHIVE

Organiser of PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020. 165-5-12 Wisma Mutiara, Jalan Sungai Besi, 57100 Kuala Lumpur, Malaysia.

Copyright © 2020 Le Tour de Langkawi. All Rights Reserved. Managed by Human Voyage (M) Sdn. Bhd (733191-V).