REZEKI ada di mana-mana. Datang tanpa diduga, tepat pada masanya, yang penting usaha dan tawakal.
Itu kata-kata pelumba pecut terbaik negara Mohd Harrif Saleh. Kini tiada lagi netizen yang boleh mengatakan pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) itu sebagai pelumba ‘cap ayam’. Bagaimanapun, Harrif atau dikenali sebagai Mamat melalui hantarannya dalam laman Instagram tidak mendabik dada malah mengakui dia ‘pelumba cap ayam’ terutama apabila ada mempertikaikan kemenangan peringkat di Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun lalu kemenangan mudah kerana tiada pasukan profesional dunia.
Namun kini dia sudah membuktikan siapakah ‘Harrif Saleh’ sebenarnya apabila melakar sejarah menjadi pelumba pertama negara meraih dua kemenangan peringkat pada edisi ke-25 PETRONAS LTdL.
Selain rakan pasukan yang banyak mendorong, kehadiran tiga insan di belakang sebenarnya menjadi tunjang kepada kekuatan dalaman Harrif.
Mereka adalah isterinya Nur Syahira Nordin dan dua anak lelaki, Muhammad Ariq Dzakwan, 5, dan Muhammad Harraz Danial, empat bulan yang setia menunggu di garisan penamat dengan mendoakan kejayaannya.
Bersama anak kecil yang baru berusia enam bulan, Syahira seboleh-bolehnya akan hadir untuk memberikan sokongan kepada suaminya itu jika perlumbaan berlangsung di Malaysia.
Kali ini biarpun dalam keadaan tidak sihat, dia tetap akan cuba datang memberikan sokongan buat suami tercinta, Hariff, 32.
Pastinya 2020 memahat sejarah tidak mungkin dapat dilupakan Syahira apabila suaminya itu melakar kejutan muncul juara peringkat 5 dan peringkat 7 dari Bagan ke Alor Setar di hadapan matanya sendiri.
Syahira berkata, apa yang dilalui Harrif tidak mudah. Dia menyaksikan jatuh bangun suaminya dan paling tidak dapat dilupakan adalah kenangan pahit pada LTdL 2017 apabila Harrif tidak dapat meneruskan pelumbaan kerana terjatuh.
“Saya masih ingat kejadian itu hingga hari ini dan masih terbayang kekecewaannya dan kejadian itu tidak mungkin dapat dilupakan. Masa itu dia menangis kerana kecewa dan sakit ketika jatuh pada 2017. Banyak darah keluar. Tapi hari ini dia bangkit dengan kejayaan.
"Alhamdulillah, saya rasa berbaloi sangat pengorbanan selama ini. Biarpun kami kerap kena tinggal dan selalu berjauhan tapi apa yang dia capai hari ini buat saya puas. Sebagai isteri seorang pelumba negara, saya perlu berkorban dan kena kuat supaya dapat terus memberi semangat dan kekuatan kepada suami saya, terutama di saat sukar,” katanya.
Tahun lalu, pelumba kelahiran Terengganu itu muncul juara Peringkat 2, sekali gus menamatkan penantian sembilan tahun Malaysia untuk memiliki pemenang selepas Anuar Manan melakukannya buat kali pertama pada LTdL 2010.
Harian Metro, 14 Februari 2020