Covid-19: Jumlah kedatangan pelancong di Langkawi menurun

LANGKAWI - Jumlah kedatangan pelancong ke Pulau Langkawi mengalami penurunan kesan daripada penularan berita tidak benar mengenai wabak koronavirus (Covid-19) oleh pihak tidak bertanggungjawab di media sosial.


Naib Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Kedah/Perlis, Razmi Rahmat berkata, penularan berita tidak benar itu juga mencetuskan panik sehingga memberi kesan kepada pengusaha hotel.


Menurutnya, hampir 50 peratus pelancong terutama dari China membatalkan tempahan hotel, sedangkan keadaan di Langkawi masih terkawal dan bebas daripada wabak berkenaan.


"Masyarakat di pulau ini sihat dan tidak dijangkiti Covid-19 namun bila ada yang sengaja menularkan berita tidak benar ia mencetuskan panik dalam kalangan orang ramai sehingga menjejaskan industri pelancongan di sini," katanya ketika ditemui di sebuah hotel di Kuah semalam.


Razmi berkata, sebanyak 50 buah hotel bertaraf tiga hingga lima bintang yang bernaung di bawah persatuan itu terjejas.


"Selain pelancong dari China, agensi tertentu yang telah membuat tempahan untuk melakukan seminar juga turut membatalkan tempahan mereka," katanya.


Beliau berkata, bagi mengatasi masalah ini, pihak pengurusan hotel telah mengambil inisiatif dengan memberikan diskaun kepada mereka yang menginap di hotel sekitar Langkawi.


"Pelbagai tawaran menarik dengan harga rendah diberikan kepada mereka yang membuat tempahan.


"Sebelum ini harga bagi hotel empat bintang RM300 hingga RM400 tetapi sekarang kita tawar dengan harga RM200 sahaja," katanya.


Namun katanya, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 yang dijalankan di sini baru-baru ini sedikit sebanyak telah meningkatkan tempahan hotel di pulau berkenaan.



Sinar Harian, 16 Februari 2020

MEDIA

RACE EXPERIENCE

INFORMATION

SOCIAL

25TH ANNIVERSARY

ARCHIVE

Organiser of PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020. 165-5-12 Wisma Mutiara, Jalan Sungai Besi, 57100 Kuala Lumpur, Malaysia.

Copyright © 2020 Le Tour de Langkawi. All Rights Reserved. Managed by Human Voyage (M) Sdn. Bhd (733191-V).