KUALA TERENGGANU: Pelumba basikal handalan Terengganu Inc Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh mengakui dia tidak malu bertutur dalam bahasa Inggeris biarpun mengetahui 'dibayangi' dialek Terengganu.
Baginya untuk fasih bercakap dalam bahasa asing itu tidak boleh ada perasaan malu dan perlu sentiasa bercakap jika tidak ia boleh merugikan diri sendiri.
Baru-baru ini video temu ramah Harrif selepas memenangi peringkat ketujuh perlumbaan PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL), 2020 dari Bagan, Pulau Pinang ke Alor Setar, Kedah dalam bahasa Inggeris 'dialek Terengganu' tular di laman sosial.
Namun begitu video itu mendapat pujian netizen yang rata-ratanya mengagumi keyakinan serta keberanian pelumba berusia 32 tahun itu bertutur dalam bahasa Inggeris tanpa sebarang rasa kekok.
Harrif berkata, dia tidak menyangka video berkenaan akan mendapat perhatian netizen kerana dia sememangnya sentiasa menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium komunikasi dengan rakan sepasukan dari negara asing termasuk jurulatih, Jeremy Hunt.
"Untuk berjaya kita perlu buang perasaan malu, tahun lepas pun dah ada video macam ni, tapi mungkin video kali ini lebih panjang dan mendapat perhatian kerana saya menang dua peringkat perlumbaan.
"Sebenarnya kita tak perlu malu 'cakak' (bertutur) dalam bahasa Inggeris kerana mengikut pengalaman saya, orang Itali, orang Jermanpun 'berat' (kurang fasih bercakap), tapi mereka yakin dan berani," ujar Harrif ketika ditemui pada Majlis Meraikan Wira-Wira PETRONAS LTdL 2020 di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud (LTSM) di sini, petang tadi.
Kira-kira 200 peminat setia sukan berbasikal negeri menyambut ketibaan wira Terengganu itu di LTSM bagi meraikan kejayaan memenangi dua peringkat perlumbaan di LTdL 2020 berakhir kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan timbalannya, Hishamuddin Abdul Karim turut tidak ketinggalan meraikan anak kelahiran Terengganu itu.
Harrif yang mencipta sensasi dan sejarah dalam perlumbaan LTdL turut mengingatkan anak muda khusus masyarakat Terengganu yang masih malu-malu berbahasa Inggeris supaya mengikis perasaan itu.
Mengulas ketiadaan abangnya, Zamri dalam perlumbaan itu, Harrif berkata abangnya tidak dapat bersama menyertai LTdL kerana masalah kesihatan.
"Saya dedikasikan kemenangan ini kepada abang kerana dia salah seorang yang menaikkan lagi semangat saya untuk berusaha lebih gigih, sejurus meraih kemenangan, dialah orang pertama yang saya hubungi," ujar Harrif.
Berita Harian, 16 Februari 2020