ANAK jati Terengganu, Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff dari pasukan Sapura Cycling Team (TSC) paling mencuri tumpuan hari ini apabila menguasai saingan di tiga zon pecutan yang ditawarkan pada peringkat 2 PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020.
Pada aksi sejauh 175.5 kilometer (km) dari Kuala Terengganu ke Kerteh itu, Aiman bagaimanapun gagal menamatkan saingan di kedudukan podium apabila terbabit dengan kemalangan di baki 3km terakhir sebelum garisan penamat di Persiaran Guntong di sini.
Bagaimanapun kejayaan Aiman mencuri mata di tiga zon pecutan di Chendering, Rantau Abang dan Bandar Al Muktafi Billah Shah membolehknya muncul pelumba terbaik Malaysia tetap membanggakan penyokong tempatan yang membanjiri garisan penamat.
Dia ketika ini berada di kedudukan keempat dalam klasifikasi keseluruhan individu (Jersi Kuning PETRONAS) ketinggalan satu minit 24 saat di belakang pemegang Jersi Kuning PETRONAS dari Kazakhstan, Yevgeniy Federov.
Malah, kejayaannya itu juga meletakkan dirinya berada di tangga ketiga klasifikasi keseluruhan pelumba terbaik Asia, di belakang penghuni tangga kedua dari Thailand, Thurakit Boonratanathanakorn.
Biarpun gagal meraih kedudukan podium pelumba berusia 22 tahun itu tetap berterima kasih kepada penyokong tempatan yang hadir memberikan sokongan dan dia akan terus berusaha untuk memastikan sasaran muncul pelumba terbaik Asia tercapai.
“Saya gembira dengan keputusan ini. Memang nak cuba untuk menang podium tapi berlaku kemalangan di 3km terakhir. Apapun saya belum menggunakan sepenuh tenaga lagi sebab esok dan peringkat keempat lagi mencabar.
“Esok pun ada pendakian di Genting Sempah dan peringkat keempat adalah yang paling sukar.
“Untuk strategi esok, saya mungkin akan cuba melakukan pecahan di kawasan bukit. Bila dapat melakukan pecahan, ia akan membolehkan rakan yang lain menyimpan tenaga,” katanya.
Saingan akan diteruskan esok membabitkan cabaran sejauh 162.5km dari Temerloh ke Kuala Lumpur dan ia dianggap permulaan cabaran LTdL sebelum peringkat 4 dari Putrajaya ke Genting Highlands Isnin ini.
Harian Metro, 8 Februari 2020