KUCHING: Sebanyak 62 jalan utama di bandar raya ini akan ditutup bermula pukul 7.00 pagi 7 Feb ini bagi memberi laluan kepada perlumbaan berbasikal jelajah berprestij Asia, Le Tour de Langkawi (LTDL) edisi ke-25.
Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata perlumbaan itu akan bermula 8.30 pagi sehingga 11.30 pagi dengan jarak perlumbaan sejauh 100 kilometer (km) bermula dan berakhir di Padang Merdeka di sini, semalam.
“Dari Padang Merdeka, laluan perlumbaan akan melibatkan jalan-jalan di hadapan Balai Polis Sentral, Tebingan Kuching, Hotel Grand Margherita, Bulatan Sri Aman, Dewan Suarah Kuching, sebelum melalui Jalan Badruddin berhadapan Ibupejabat Kontinjen (IPK) Sarawak,” katanya dalam sidang media perlumbaan itu di sini.
Beliau berkata perlumbaan juga akan melalui jalan di hadapan Bangunan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Jambatan Satok dan Bulatan Abang Kipali, Bulatan Samariang, Bulatan Sesco, Bulatan Medan Hamidah dan seterusnya Jalan Bako hingga Kampung Bako.
“Di Kampung Bako, perlumbaan akan berpatah balik ke pusat bandar, melalui lampu isyarat Pelabuhan Senari, Bulatan Bako (Demak Industrial), Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), I-Com Square sehingga ke Sekama,” katanya.
Dari Sekama, pelumba-pelumba ini akan melalui Jalan Batu Lintang, jalan berhadapan Wisma Saberkas, Jalan Badruddin, lampu isyarat RTM, Jalan Satok, jalan Masjid Bahagian, Tebingan Kuching sehingga ke Jalan Abell, sebelum berpatah balik dan mengakhiri perlumbaan di Padang Merdeka.
Alexson berkata perlumbaan yang akan melibatkan 22 pasukan ini akan turut melalui 23 sekolah, 14 kampung, 10 premis perniagaan utama dan dua masjid.
Beliau meminta para pengguna jalan raya untuk menggunakan jalan alternatif sepanjang perlumbaan itu berlangsung dan mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan bagi memastikan acara antarabangsa itu berjalan lancar.
Suara Sarawak, 31 January 2020