KOTA KINABALU: Acara pengenalan 21 pasukan yang bersaing dalam Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 di Padang Merdeka semalam berlangsung dalam suasana meriah dan penuh warna warni.
Edisi ke-25 perlumbaan ini membariskan sebuah pasukan dunia UCI, lima pasukan pro, 14 pasukan benua mewakili Eropah, Asia, Afrika, Amerika dan Oceania serta pasukan negara.
Ianya turut menandakan kedatangan semula LTdL ke Sabah dan Sarawak selepas 23 tahun, sekaligus mencatatkan satu lagi kegemlingan buat perlumbaan yang kini tersenarai sebagai ProSeries mulai tahun ini.
Acara pembuka tirai LTdL bermula dengan perlumbaan Kriterium Antarabangsa sejauh 90km di sekitar bandar Kota Kinabalu hari ini.
Hadir dalam acara pengenalan pasukan semalam ialah Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Menteri Belia dan Sukan Malaysia Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Menteri Belia dan Sukan Negeri Phoong Jin Zhe.
Turut bersama adalah Ketua Pegawai Operasi Human Voyage Shahaizereen A Hamid dan Naib Presiden Petronas Bacho Pilong yang mewakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.
Mohd Shafie, Phoong dan Syed Saddiq semasa acara pengenalan pasukan di Padang Merdeka di sini semalam. Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan
Majlis turut menyaksikan tayangan video ucapan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan harapan agar LTdL menjadi setanding Giro d’Italia dan Tour de France.
Selepas acara Kriterium Antarabangsa Malaysia di sini selesai, saingan Peringkat 1 LTdL akan bermulandi Kuching pada Jumaat ini.
LTdL 2020 kemudian akan merentasi Laut China Selatan menuju ke Kuala Terengganu untuk Peringkat 2 pada Sabtu.
Perjalanan seterusnya menyusuri Pantai Barat menuju ke utara untuk saingan penamat Peringkat 8.
Perlumbaan 8 peringkat akan berakhir di Langkawi pada 14 Februari sebelum tirai dilabuhkan dengan perlumbaan sampingan Klasik Antarabangsa Malaysia yang dianjurkan sempena sambutan jubli perak LTdL pada 15 Februari nanti.
SabahNewsToday, 6 Februari 2020